Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Penggunaan wang ‘crowd funding’ (biaya ramai) yang diusahakan untuk melepaskan seorang pegawai kanan kepada Menteri Pertahanan daripada status muflis dalam tempoh yang singkat sukar dilakukan.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa beliau yang dibekalkan beberapa dokumen mendapati status muflis pegawai terbabit diselesaikan dalam beberapa hari sahaja.

“Saya sukar menerima alasan ini kerana saya juga tahu seorang lagi pimpinan Amanah iaitu Saudara Mazlan Aliman masih belum berjaya mengumpul dana mencukupi untuk membayar saman ke atasnya, sedangkan Saudara Mazlan lebih dikenali dari pembantu YB Mohamad Sabu ini,” katanya dalam laman facebooknya.

Semalam, portal Malaysiakini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat seorang pegawai kanan kepada Menteri Pertahanan susulan dakwaan dia menerima RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantunya menyelesaikan hutangnya dan dikeluarkan daripada status muflis.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan kepada portal berita itu bahawa siasatan sedang dijalankan tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

Menurut Rafizi, dokumen-dokumen yang dibekalkan kepadanya menunjukkan bahawa 4 bayaran yang meragukan (masing-masing berjumlah RM318,525, RM100,000, RM300,000 dan RM100,800) dibuat dalam tempoh dua hari iaitu 30 Mei 2018 dan 31 Mei 2018.

muflis
Penyata insolvensi menunjukkan 4 bayaran besar dimasukkan dalam tempoh 2 hari

Tambah beliau, walaupun boleh memalukan Pakatan Harapan, isu terbut boleh diambil pengajaran dalam usaha memperkukuhkan lagi perikatan itu.

Jelasnya, pihak berkuasa wajar meneruskan siasatan dan yang disiasat berhak membela diri di mahkamah.

Rafizi berkata, walaupun parti yang memerintah telah bertukar tetapi pihak-pihak yang sudah biasa menawarkan rasuah sepertiĀ  membayar tiket ke luar negara masih sama kerana mereka merupakan pembekal kepada Kerajaan Persekutuan selama ini.

Jelasnya, mereka juga tahu mana-mana ahli politik dan pembantu mereka yang memerlukan wang untukĀ  menguruskan parti dan membina pengaruh.

Menurutnya, ada juga ahli politik dan pembantu mereka yang kelabu mata dengan tawaran kemewahan, sesuatu yang mereka tidak pernah merasai semasa menjadi pembangkang dahulu.

“Oleh itu, pihak-pihak yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan ini akan bertali arus mendampingi dan berbuat baik dengan menteri-menteri, terutamanya melalui pegawai-pegawai
yang rapat dengan mereka.

“Kita wajar memperhalusi bagaimana hubungan di antara pelobi-pelobi dan pihak-pihak yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan ruang mereka boleh menawarkan sogokan,” katanya. – MalaysiaGazette