Khairy
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 13 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersetuju dengan pandangan bahawa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu diberi ruang sepenuhnya untuk menjalankan tugasnya tanpa sebarang kekangan atau masalah.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, ia penting untuk membolehkan pemimpin nombor satu UMNO itu dapat menjalankan tanggungjawab mencorakkan hala tuju baharu untuk UMNO.

Beliau ditanya mengenai saranan sesetengah pihak dalam parti bahawa bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjauhkan diri daripada UMNO untuk memberi ruang kepada Zahid melaksanakan tugas terhadap UMNO.

“Itu pandangan sesetengah pihak dalam UMNO bahawa bekas pemimpin perlu beri ruang sepenuhnya kepada pemimpin baharu menjalankan tugas parti.

“Saya setuju bahawa pemimpin baharu dalam UMNO perlu diberi ruang sepenuhnya untuk meletakkan hala tuju baharu,” katanya secara ringkas kepada pemberita di luar Dewan Rakyat, Parlimen di sini.

Dalam satu lagi perkembangan lain, Khairy juga mengharapkan UMNO Sabah terus kekal bersama parti keramat itu dan Barisan Nasional (BN) demi kerelevanan berterusan.

Katanya, walaupun UMNO Sabah menyertai blok pembangkang baharu iaitu Parti Gabungan Bersatu Sabah (PGBS), ia tidak bermakna ia perlu meninggalkan parti.

“Pada pendapat saya, berharap UMNO Sabah kekal dalam parti dan juga BN, dan mungkin gabungan ini lebih daripada satu platform untuk mereka mengusahakan isu-isu berbangkit berkait rapat dengan rakyat Sabah.

“Jika bermain dengan isu negeri Sabah tak bermaksud UMNO Sabah perlu keluar dari parti utama dan BN,” katanya.

Reaksi beliau menyusul ekoran kenyataan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah semalam, Datuk Hajiji Noor yang mengesahkan parti itu akan menyertai PGBS yang bakal dibentuk tidak lama lagi.

Menurutnya keputusan itu dibuat memandangkan BN Sabah telah kehilangan parti komponennya selepas hampir sembilan daripada 13 parti komponen BN telah mengumumkan keluar daripada perikatan berusia 61 tahun itu.

Justeru jelasnya UMNO Sabah hanya akan menyertai gabungan baharu itu sebagai salah satu parti komponen dan tidak akan meninggalkan UMNO. – MalaysiaGazette