Selain menerima rawatan di Hospital Sungao Buloh, sebahagian besar mangsa turut dihantar ke hospital sekitar Selangor untuk tindakan lanjut.

KUALA LUMPUR – Seramai 61 pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu diserang strok haba ketika menjalani latihan, hari ini.

Semua mereka yang berada dalam keadaan kritikal, termasuk 12 daripadanya pengsan dan sawan dihantar ke beberapa hospital sekitar Selangor serta Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.

Menurut sumber Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, Kementerian Kesihatan, kejadian berlaku apabila kumpulan pelatih terbabit dikatakan ditempatkan dalam sebuah bas dengan keadaan cuaca panas terik.

Katanya, kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu adalah sebahagian daripada latihan mereka.

“Berikutan itu, Jabatan Kecemasan dan  Trauma, Hospital Sungai Buloh (HSB) telah mengaktifkan Pelan Kecemasan MCI (Mass Casualty Incidence) membabitkan hospital itu, HKL, Hospital Selayang (HS), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam (HSA) sebaik menerima laporan,” katanya di sini, hari ini.

Menurut sumber itu lagi, 16 mangsa ditempatkan di zon merah (kritikal), seorang di zon kuning dan 44 pelatih lagi di zon hijau.

“Tiga mangsa yang kritikal dirujuk ke HSB, tiga mangsa dirawat di HKL, dua di HS, dua di HTAR dan enam lagi dirawat di beberapa hospital lain.

“Seorang pelatih dirawat di zon kuning, manakala 44 mangsa yang mengalami kesan ringan ditempatkan dalam bangunan berhawa dingin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai kejadian itu dan pengesahan hanya boleh diperoleh daripada pihak pusat latihan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast