KJ
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin meluangkan masa melawat kedai tersebut sambil diiringi Pemilik kedai BuahTangan, Elena Shamsuddin (dua kanan) pada Majlis Perasmian kedai cenderamata BuahTangan di KL Citywalk, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – “Barisan Nasional (BN) tidak mahu lagi mengusung bangkai hidup,” tegas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usul agar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit membuka semula siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Jelas Khairy, hanya itu sahaja cara untuk orang ramai termasuk bekas-bekas menteri kabinet serta ahli Parlimen daripada kerajaan terdahulu untuk mengetahui perkara sebenar mengenai skandal tersebut selain membebaskan parti berkenaan daripada terus menanggung beban sehingga menyebabkannya kekalahan besar PRU-14 lalu.

“Ini sahaja caranya (membuka semula siasatan) sama ada oleh PAC atau badan-badan relavan yang lain bagi mendapatkan jawapan sebenar dan membebaskan parti dari terus menanggung beban.

“Kami pun hendak tahu juga kerana sebagai bekas menteri kabinet, ada perkara-perkara yang tidak diberitahu kepada kami.

“Ada pihak yang cakap kenapa baharu sekarang kami bercakap sedemikian tetapi hakikatnya, kami tidak tahu (selama ini). Ada benda-benda yang disembunyikan daripada kita juga.

“Beliau (Datuk Seri Najib Razak) cuba menjelaskan sebaik mungkin tetapi ada perkara-perkara yang terus berlaku tanpa kita mengetahuinya contohnya, Menteri Kewangan berkata, ada pembayaran balik hutang telah dibuat, mana kita tahu,” katanya semasa sidang media hari ini.

Usul oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) membuka siasatan 1MDB semula diluluskan secara sebulat suara oleh Dewan Rakyat.

Ini termasuk dalam kalangan ahli parlimen BN sendiri yang pada sesi parlimen sebelum ini tidak bersetuju perbahasan atau soalan berhubung skandal itu dibangkitkan.

Usul itu dibawa oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menekankan siasatan berkenaan akan memberi penyelesaian akhir buat negara berhubung skandal yang sama.

Dalam pada itu, ditanya mengenai prestasi BN selepas 100 hari menjadi pembangkang, Khairy berpendapat, parti berusia 60 tahun itu lulus tetapi tidak mencatatkan keputusan cemerlang.

Banyak perkara yang masih boleh diperbaiki terutama daripada segi penghujahan di Parlimen, katanya.

“Bolehlah. Tidak mengecewakan tetapi tidak juga cemerlang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast