Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika membuat perjumpaan bersama Budayawan Negara, turut hadir Sasterawan terkenal, Datuk A. Samad Said (kanan) di pejabat peribadi beliau di Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2018.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika membuat perjumpaan bersama Budayawan Negara, turut hadir Sasterawan terkenal, Datuk A. Samad Said (kanan) di pejabat peribadi beliau di Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2018.

PETALING JAYA – Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) perlu mengikuti kursus bahasa Melayu agar tahap penguasaan bahasa ibunda itu dapat diikuti dengan baik.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan tahap penguasaan bahasa tersebut dalam kalangan ahli Parlimen bukan Melayu ketika berbahas di Dewan Rakyat sangat teruk.

Katanya, ia perlu dipandang serius dan pertimbangan wajar diambil terhadapnya.

“Tahap penguasan bahasa perlu dipertingkatkan. Ramai yang menegur prestasi ahli-ahli Parlimen di Parlimen semasa berucap lemah, kesat serta kurang sopan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa budayawan di pejabat peribadi beliau di sini hari ini.

Dalam pertemuan lebih dua jam itu, pelbagai topik dibincangkan melibatkan aspek berkaitan isu karyawan.

Mengulas lanjut Anwar berkata, kursus bahasa yang perlu diikuti oleh ahli Parlimen itu adalah sebagaimana yang pernah dianjurkan oleh kerajaan Selangor selepas diambil alih oleh PKR pada tahun 2008.

“Saya terima baik teguran itu dan saya akan panjangkan yang lemah bahasa seperti yang kita pernah anjurkan dulu di DUN Selangor.

“Kita adakan kursus bahasa di peringkat DUN, kalau tak malu nanti jika nak dibandingkan dengan pelajar-pelajar SPM,” seloroh Anwar.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengakui menerima banyak tawaran kerusi daripada ahli-ahli Parlimen PH tetapi beliau belum lagi bersedia untuk menerima tawaran tersebut.

“Tawar kerusi pun ramai yang tawar tapi saya belum lagi mahu mengecapinya,” jelasnya. – MalaysiaGazette