PULAPOL
Suasana di hadapan wad kecemasan yang menerima pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) akibat diserang strok haba di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Insiden yang melibatkan seramai 61 pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu yang diserang strok haba ketika menjalani latihan semalam dianggap sebagai ‘latihan ke neraka’ oleh pengamal perubatan.

Menurut sumber, dalam satu grup aplikasi Whatsapp, beberapa doktor mempersoalkan tindakan jurulatih terbabit yang menjalankan latihan tersebut sehingga berlaku perkara yang tidak diingini itu.

“Inilah yang kami bincangkan semalam, kenapalah dibuat latihan seperti itu dalam cuaca yang panas sekarang ini,” kata sumber berkenaan merujuk kepada perbualan di laman sosial tersebut.

Dalam kejadian semalam, seramai 61 pelatih PULAPOL dilapor berada dalam keadaan kritikal selepas dikatakan menjalani latihan di dalam sebuah bas dengan keadaan cuaca panas terik.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari dan ia dikatakan sebahagian daripada latihan mereka.

Sementara itu, jurucakap Unit Perhubungan Awam, Hospital Sungai Buloh mengesahkan pihaknya ada menerima kemasukan pelatih-pelatih daripada pusat itu.

Bagaimanapun katanya, pihak hospital tidak boleh menyatakan jumlah sebenar pelatih yang diterima masuk ekoran telah mendapat arahan untuk tidak memaklumkannya kepada mana-mana pihak.

“Kalau nak tanya lebih lanjut boleh bertanya kepada polis kerana kes ini dalam siasatan dan ia adalah kes polis.

“Pihak kami tidak boleh memberi sebarang maklumat sehinggalah ada arahan dikeluarkan,” ujar jurucakap berkenaan. – MalaysiaGazette

Baca selanjutnya:

Tiga pelatih PULAPOL dimasukkan ke ICU HKL

Sekumpulan 61 pelatih PULAPOL kritikal diserang strok haba

Mangsa strok haba di HTAR masih dirawat