Hospital yang menempatkan pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang diserang strok haba ketika sesi latihan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 17 OGOS 2018.

KLANG – Seramai dua daripada 61 pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa di Kuala Kubu Bharu yang diserang strok haba kini ditempatkan di wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini sejak semalam.

Menurut sumber ketika ditemui di lobi HTAR hari ini mengesahkan perkara tersebut sambil memberitahu keadaan mangsa belum pulih sepenuhnya.

“Dua pelatih Pulapol masih sakit dan pelawat masih tidak dibenarkan mendekati mangsa.

“Keadaan mereka terkawal dan kini doktor sedang merawat kedua-duanya,” katanya kepada MalaysiaGazette di lobi HTAR hari ini.

Semalam, seramai 61 pelatih PULAPOL Bukit Sentosa di Kuala Kubu Bharu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba ketika menjalani latihan.

Daripada jumlah itu, kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di hospital.

Mereka dikejarkan ke beberapa hospital sekitar Selangor serta Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan menaiki ambulans untuk rawatan kecemasan.

Tinjauan di HTAR hari ini mendapati beberapa anggota polis dipercayai dari PULAPOL kelihatan berulang-alik keluar dan masuk ke wad yang menempatkan dua mangsa terbabit.

Bagaimanapun pintu masuk ke wad HTAR dikawal rapi pihak keselamatan sepanjang masa dan pelawat awam tidak dibenarkan menziarahi mangsa. – MalaysiaGazette