Gambar pada satu fail tertera nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri kini tersebar di laman sosial berkaitan notis bankrap.
Gambar pada satu fail tertera nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri kini tersebar di laman sosial berkaitan notis bankrap.

KUALA LUMPUR – Pelakon Elfira Loy percaya terdapat pihak yang cuba menjatuhkan dirinya dengan pelbagai cara termasuk sanggup menyebarkan fitnah.

Jelas wanita berusia 24 tahun itu, pihak tersebut sanggup mendedahkan kesalahan yang mungkin betul atau salah terhadap dirinya dengan tujuan tertentu.

“Kalau orang nak jatuhkan orang lain dia akan usaha pelbagai cara untuk membuat orang percaya kepada fitnah.

“Begitu yakin membentangkan kesalahan dan kesilapan yang mungkin betul atau salah,” tulisnya di laman sosial Instagram miliknya.

Status itu dipercayai bagi memberi reaksi kepada gambar pada satu fail tertera nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri yang tersebar di laman sosial berkaitan notis bankrap.

Sementara itu, Elfira berkata, setiap ujian yang datang kadang-kala hadir untuk mengajar atau menaikkan darjat seseorang di sisi tuhannya.

Jelasnya lagi, dia hanya mampu mendoakan yang terbaik dan tersenyum.

“Persoalannya, kenapa begitu murah hati membuang perasaan baik yang ada pada hati hanya kerana dengki?

“Bagaimana anda boleh begitu yakin yang dunia tidak akan berputar dan jatuh pada batang hidung sendiri.

“Hidup ni kena sentiasa berpada-pada kerana ujian tidak pernah hadir pada saat kita diduga. Kadang ia hadir untuk mengajar kita kadang ia hadir untuk menaikkan darjat kita disisi Nya.

“Saya, macam biasa hanya mampu melihat dan tersenyum mendoakan yang terbaik kerana yang baik tidak datang pada lisan tapi pada perbuatan,” ujarnya.

Sebelum ini Elfira menghadapi kontroversi selepas pertunangannya dengan penyanyi Sufian Suhaimi putus. – MalaysiaGazette