Bacaan makin teruk di dua kawasan di Selangor sehingga jam 4 petang ini.

KUALA LUMPUR – Keadaan jerebu di Selangor semakin teruk apabila dua kawasan di negeri itu mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat petang ini.

Kawasan itu ialah Taman Johan Setia di Sungai Kandis, Shah Alam dengan bacaan IPU tertinggi sehingga jam 4 petang ini mencecah 117 diikuti Banting 106 iaitu bacaan pada paras kuning.

Dua lagi kawasan turut menunjukkan peningkatan bacaan IPU, iaitu Putrajayaiaitu 94 (sehingga jam 12 tengah hari tadi catatannya 84) manakala Nilai, Negeri Sembilan juga naik kepada 95 berbanding 89 mengikut bacaan tengah hari tadi.

Keadaan jerebu di Sabah masih berada pada paras sederhana iaitu antara 52 hingga 77, diikuti Sarawak dari 63 hingga 78.

Kelantan sehingga jam 4 petang ini juga mencatatkan bacaan IPU 69 hingga 77, Terengganu (60-74), Pahang (69-71), Johor (55-78), Negeri Sembilan (79-95), Selangor (75-117), Kuala Lumpur (81-85), Perak (75-80), Pulau Pinang (53-55) dan Kedah (54-62).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). – MalaysiaGazette