KUALA LUMPUR – Pemilik kenderaan yang rosak akibat dirempuh sebuah bas henti-henti milik RapidKL di Jalan Ampang di sini, semalam boleh membuat tuntutan ganti rugi.

Ketua Pegawai Operasi RapidKL Shamsul Rizal Mohd Yusof berkata pemilik kenderaan berkenaan perlu menghubungi RapidKL di talian 03-7885 2585 untuk proses tuntutan.

“Ada beberapa prosedur yang perlu dibuat (oleh pemilik kenderaan) seperti hantar laporan polis. Pihak RapidKL akan bantu menyalurkan maklumat untuk proses tuntutan,” katanya pada sidang media di Depoh Maluri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut insiden itu, beliau berkata pemandu bas laluan Datuk Keramat menuju Ampang Point itu telah berkhidmat sejak dua tahun lepas dan mempunyai rekod yang baik.

“Kami tidak dapat pastikan sama ada beliau mempunyai masalah kesihatan atau tidak kerana maklumat terperinci masih belum diperoleh.

“Kami (RapidKL) memohon maaf atas kejadian ini dan akan beri kerjasama kepada pihak polis,” katanya sambil menambah pihaknya tidak dapat memastikan sama ada terdapat penumpang atau tidak di dalam bas ketika kejadian.-BERNAMA