Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki (tiga kanan) meninjau tapak projek naik taraf Sungai Balak sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Balakong di Kampung Baru Balakong, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2018.
Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki (tiga kanan) meninjau tapak projek naik taraf Sungai Balak sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Balakong di Kampung Baru Balakong, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2018.

BALAKONG – Masalah banjir kilat dan kesesakan trafik yang sering berlaku terutama pada waktu puncak di sini sejak beberapa tahun lalu menjadi fokus utama untuk diselesaikan dalam masa terdekat.

Itu janji calon Pakatan Harapan, Wong Siew Ki apabila mahu dua masalah tersebut diselesaikan tanpa bertangguh lagi.

Menurutnya, projek tebatan sungai bagi menghalang banjir kilat telah dimulakan pada Jun lalu namun, terhenti sejak dua minggu lalu atas sebab-sebab tertentu.

Bagaimanapun katanya, projek itu telah disambung semula dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2019.

“Kita telah menerima banyak aduan daripada penduduk di kawasan ini terutama mereka yang tinggal di Kampung Bharu Balakong apabila sering menghadapi masalah banjir kilat.

“Projek ini sudah lewat bermula dan JPS (Jabatan Pengairan Saliran) telah mengeluarkan surat amaran dan kontraktor kini sedang mempercepatkan projek ini,” katanya ketika mengadakan lawatan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di sini hari ini.

Siew Ki berkata, berdasarkan pemerhatiannya, peringkat awal projek itu telah menunjukkan kesan memuaskan ekoran kontraktor telah mula melakukan kerja-kerja menambak dan sebahagian kawasan di seberang sungai perlu diperkemaskan.

Katanya, beliau berharap agar projek tersebut dapat dipantau sepenuhya selepas PRK dan perkara yang sama akan dibuat di tempat-tempat lain sekitar Balakong.

Dalam pada itu, beliau turut bercadang untuk menaiktaraf kawasan tepian sungai di Kampung Bharu Balakong agar dapat diindahkan menjadi satu kawasan riadah untuk kegunaan orang ramai terutama penduduk di situ.

Ujarnya, banyak infrustruktur akan dibangunkan di kawasan berkenaan dan penduduk boleh menggunakannya pada bila-bila masa bersama keluarga.

Sementara itu dalam perkembangan sama, beliau berkata, masalah kesesakan lalu lintas yang sering dialami oleh pengguna jalan raya di situ turut mendapat perhatiannya dan sedang mencari jalan untuk diselesaikan.

Katanya, beliau berjanji akan menyelesaikan dua masalah utama itu terlebih dahulu dan mengharapkan kepercayaan penduduk Balakong untuk memberi sokongan kepadanya pada PRK yang akan berlangsung 8 September nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast