Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun menanam pokok sebagai gimik Pelancaran Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat PDRM di Menara 1, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 20 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Kehilangan barang peralatan radioaktif bukan kes baharu kepada Polis Diraja Malaysia dan akan menyiasat mengenainya, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Menurut beliau, sebelum ini kejadian seumpama pernah dilaporkan berlaku iaitu pada tahun lalu.

Beliau diminta mengenai perkembangan aduan kehilangan sebuah peranti radioaktif milik sebuah syarikat swasta dari Shah Alam hilang pada 10 Ogos lalu.

Ia dikatakan mengandungi isotop radioaktif Iridium-192 yang memancarkan radiasi beta dan gamma serta mempunyai separuh hayat 73 hari.

“Polis masih sedang menyiasat kehilangan peranti radioaktif itu dan belum ditemui lagi. Kita sedang menjalankan siasatan rapi berhubung kehilangan itu pada 10 Ogos lalu dan keesokan harinya ada tangkapan (dua suspek) dibuat polis.

“Mereka telah direman, proses ambil kenyataan diselesaikan dan pada 17 Ogos lalu mereka dibebaskan..jadi kita akan buat siasatan lanjut dalam hal ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Tambah Mohamad Fuzi, polis juga tidak dapat memastikan punca sebenar mengenai kehilangan barang radioaktif itu.

“Ada dakwaan yang mengatakan bahawa alat radioaktif merbahaya itu hilang secara tidak sengaja dan kononnya bonet kereta membawa alat sensitif itu terbuka dan mungkin terjatuh di tempat tertentu.

“Malangnya sehingga kini tiada sesiapa pun yang belum menemui alat itu. Jadi kita terpaksa menjalankan siasatan lanjut dalam hal ini,” ujar beliau.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong Royong Mega 1.0 2018 Peringkat PDRM Memerangi Aedes di sini hari ini.

Kata Mohamad Fuzi, program itu bertujuan untuk memastikan persekitaran dan premis di Ibupejabat Polis Bukit Aman dan juga pejabat daerah dan balai polis seluruh negara sentiasa terpelihara kebersihan daripada wabak aedes dan denggi.

Beliau menegaskan, program serentak di seluruh negara itu penting dan disegerakan selepas statistik terbaharu Kementerian Kesihatan mendedahkan peningkatan kes denggi di seluruh negara dan tertinggi di Selangor.

Beliau juga mengakui terdapat anggota polis yang turut terjejas akibat denggi di Selangor tetapi tidak memperincikan bilangan anggotanya.

Dalam satu lagi perkembangan, Mohamad Fuzi menjelaskan, PDRM berdepan kekangan peruntukan dana untuk menyelenggara dan membaiki lif yang rosak hampir di kesemua kuaters dan pejabat polis daerah termasuk di pusat latihan polis.

“Memang betul kebanyakan kelulusan sudah dapat, pihak JKR sudah sedia.. cuma masalah peruntukan dana yang menjadi kekangan untuk melaksanakan kerja kerja membaik pulih. Bukan PULAPOL sahaja ada banyak premis tempat tinggal anggota polis juga tak berfungsi,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette