banjir
Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki (tiga kiri) meninjau tapak projek naik taraf Sungai Balak sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Balakong di Kampung Baru Balakong, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2018.

SERI KEMBANGAN – Penduduk Kampung Baru Balakong berharap projek tebatan yang sedang dilaksanakan di sepanjang Sungai Balak dapat menyelesaikan masalah banjir di tempat mereka yang berlarutan sejak lima tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kampung Baru Balakong, Aw Fui Loon berkata, penduduk sudah tidak tahan lagi untuk berdepan dengan situasi tersebut kerana bukan sahaja mereka sukar untuk bergerak malah tidak sanggup lagi untuk menanggung kerugian.

Malah katanya, ada penduduk yang trauma setiap kali hujan lebat atau lebih dari tempoh satu jam air akan naik dan masuk ke dalam rumah menyebabkan ada harta benda mereka rosak.

“Memang di sini ada orang akan membunyikan siren jika air sungai naik tetapi kadang kala tidak sempat mereka hendak memunggah barang untuk diselamatkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa kempen calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong hari ini.

Menceritakan mengenai kejadian banjir itu Fui Loon berkata, keadaan sungai di tempat mereka memang sudah perlu diambil tindakan segera oleh pihak berwajib memandangkan permasalahan itu telah lama dibangkitkan penduduk.

Aw Fui Loon
Aw Fui Loon

Katanya, dalam kejadian baru-baru ini beberapa rumah dinaiki air setinggi dua kaki sedangkan hujan turun tidak sampai sejam.

Ujarnya, air sungai yang tidak dapat mengalir sempurna ditambah pula dengan sampah sarap yang banyak menjadikan keadaan banjir bertambah teruk selain meninggalkan bau yang kurang menyenangkan.

“Kami penduduk di sini berharap masalah banjir itu dapat diselesaikan segera agar kami boleh menjalani kehidupan yang lebih sempurna,” ujarnya.

Dalam satu pagi tadi, Siew Ki mengadakan lawatan untuk melihat projek tebatan Sungai Balak yang menjadi fokus utamanya dalam menyelesaikan masalah banjir yang membelenggu penduduk di Kampung Baru Balakong dan beberapa kawasan lain.

Siew Ki berjanji akan memberikan tumpuan terhadap masalah itu dan mengharapkan sokongan pengundi di kawasan tersebut pada PRK yang akan berlangsung 8 September ini.

Katanya, beberapa masalah lain turut akan diberikan perhatian seperti kesesakan lalu lintas di beberapa batang jalan raya dan perkara itu sememangnya menjadi salah satu daripada keutamaannya. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/08/20/calon-ph-janji-selesaikan-masalah-banjir-kesesakan-di-balakong/