Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Putrajaya memberikan jaminan bahawa pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan 2018 (SST) tidak akan memberikan tekanan harga kepada pengguna sebagaimana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, cukai SST yang berkurangan akan dapat mengawal kadar inflasi.

Malah katanya, sekiranya terdapat kenaikan harga barangan, ia hanyalah melibatkan separuh daripada kenaikan yang disebabkan oleh pelaksanaan GST sebelum ini.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PDNHEP) akan mengambil langkah berjaga-jaga dan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 bagi menghalang mana-mana pihak daripada mengambil peluang mengaut keuntungan tidak munasabah hanya kerana pengenalan semula SST,” katanya dalam sesi pembentangan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 di Dewan Negara hari ini.

Guan Eng berkata pengenaan GST pada kadar sifar mulai 1 Jun 2018 telah terbukti berjaya mengurangkan peningkatan harga pengguna, iaitu Indeks Harga Pengguna.

Ujarnya, Indeks Harga Pengguna telah jatuh kepada hanya 0.8 peratus dalam bulan Jun, daripada 1.8 peratus di bulan Mei.

“Pemberian pelepasan cukai (tax holiday) kepada pengguna dari 1 Jun kepada 31 Ogos juga telah menggalakkan rakyat untuk berbelanja lebih.

“Sebagai contoh, pembelian kereta bagi bulan Jun telah naik 28 peratus tahun-ke-tahun,” katanya lagi. -MalaysiaGazette