Musa Aman ketika menerima rawan di The Clementine Churchill Hospital, London.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman ‘pulang’ ke negara ini di Lapangan Terbang Subang.

Ia disahkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan memaklumkan ketibaan Musa kira-kira 6.45 petang tadi dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pesawat yang membawa Musa Aman dan rombongan telah selamat tiba dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dari Seletar Singapura.

“Pemeriksaan Imigresen telah diberikan kepada beliau dan penumpang yang menaiki pesawat tersebut.

“Musa Aman tidak dapat hadir ke kaunter pemeriksaan imigresen atas sebab kesihatan.

“Dokumen penumpang telah diperiksa dan direkodkan ke dalam Sistem Komputer Jabatan Imigresen sebelum pemeriksaan dokumen ke atas Musa Aman dan penumpang lain selesai lebih kurang jam 7 malam tadi,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.

Tambah Mustafar, Jabatan Imigresen telah memaklumkan pergerakan tersebut  kepada pegawai penyiasat daripada agensi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan penumpang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai bertugas,” tegas beliau lagi.

Sebelum itu, tular khabar angin bahawa beliau akan dibawa balik dari London semalam namun dinafikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. -MalaysiaGazette