Gambar hiasan

KUCHING – Seorang budak lelaki berusia 13 tahun ditemui mati lemas di dalam sebuah lubuk yang kedalamannya dianggarkan empat meter di sebuah sungai berhampiran Kampung Landeh, Batu 10 Padawan dekat sini lewat petang semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mayat John Allfeus Anak Kassim, yang beralamat di Kem Penrissen Batu 8, Kuching ditemui kira-kira jam 6.55 petang semalam.

“Berdasarkan maklumat daripada pemanggil yang memaklumkan mengenai kejadian itu, ketika kejadian mangsa sedang mandi bersama rakannya sebelum hilang di sungai tersebut,” kata jurucakap itu.

Jurucakap itu berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.36 petang hari ini dan operasi mencari dan menyelamat dilancarkan bersama penduduk Kampung Landeh.

Katanya, ketika ditemui mangsa sudah tidak bernyawa lagi dan mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis di lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

— BERNAMA