JAKARTA – Jaguh ekuin negara, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil meyumbang pingat perak dalam acara Dressage Individu pada Sukan Asian Jakarta Palembang 2018 hari ini.
Atlet berusia 38 tahun itu terpaksa berpuas hati kemenangan tempat kedua dengan memungut 76.650 mata.
Beliau hanya dipisahkan dengan 0.425 mata sahaja berbanding ekuin Hong Kong yang mengesahkan emas dengan mengumpul 77.045 mata.
Korea Selatan telah memperolehi pingat gangsa dalam acara tersebut.
“Nampaknya pingat emas belum kesampaian walaupun markah hanya 0.4 mata beza dengan juara, namun saya terima keputusan ini.
“Mungkin artistic impression kurang, menyebabkan dapat markah rendah daripada salah seorang pengadil.
“Kalau pingat emas lagi baik, tapi alhamdulillah ada pingat perak daripada pulang tanpa pingat,” katanya selepas tamat acara tersebut.
Tambahnya aksi bersama kudanya berusia 12 tahun, Rosenstolz tidak melakukan kesilapan dan pengadil juga suka dengan rutin lagu.
Qabil juga mengakui kedudukan rangking pertama dua hari lepas dalam dua pusingan kelayakan awal memberikan tekanan untuk ke pusingan akhir.
“Markah sangat subjektif dan sememangnya kedudukan rangking teratas (pusingan kelayakan) dua hari lepas memberi tekanan,” tegasnya.
Qabil sememangnya kembali semula dengan mengimpikan pingat emas di dalam acara berkenaan selepas kali terakhir beraksi lapan tahun lepas dan meraih gangsa dalam acara individu di temasya Guangzhou 2010 dan Doha 2006 selain perak dalam acara berpasukan di Bangkok 1998.
Qabil yang kali ini beraksi dengan kuda Rosentolz telah menduduki tangga teratas pada aksi kelayakan Prix St-Georges dengan catatan 74.881 mata di Jakarta International Equestrian Park dua hari lepas.
Dia mengatasi pencabar terdekatnya, Kim Hyeok dari Korea Selatan yang memungut 71.235 mata pada pusingan kelayakan itu tiga hari lepas.
Qabil akan beraksi dalam satu lagi acara kategori show jumping dan dilihat berpeluang cerah untuk merebut emas dalam acara itu.- MalaysiaGazette