Shahril Azman Abdul Halim
Shahril Azman Abdul Halim

PETALING JAYA – Pas hanya akan bergabung dan bekerjasama dengan mana-mana parti sekiraya ia memberi keuntungan kepada Islam serta umatnya, kata Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krau, Shahril Azman Abdul Halim.

Katanya, jika kerjasama itu akan merugikan Islam, Pas tidak akan meneruskannya walaupun sudah hampir ke Putrajaya.

“Dengan siapapun kita bekerjasama, jika ia demi kepentingan dan keuntungan Islam dan umatnya, kita akan teruskan, tetapi kerjasama ini tidak akan diteruskan kalau ia merugikan Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau mengulas mengenai kerjasama Pas dan UMNO yang dimeterai pada hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada Sabtu lalu.

Shahril Azman berkata, Pas pernah bergabung dengan DAP dan PKR sehingga membawa kemenangan kepada Pas di beberapa kerusi yang parti itu tidak pernah menang.

Namun, katanya, selepas semakin lama gabungan itu tidak menguntungkan Islam dan yang jelas agama itu dikecam dan dihalang daripada terus bangkit dari menguasai negara oleh parti gabungan sendiri, Pas sanggup hilang gabungan kerjasama itu daripada tergadai prinsip perjuangan Islam.

“Begitu juga pada PRK Setia, UMNO datang untuk membantu. Pas akan menerima sesiapa sahaja yang datang untuk membantu demi memenangkan calon kita atas dasar kepentingan Islam.

“Prinsip ini selaras dengan firman Allah dalam surah Al-Maidah, hendaklah kamu tolong menolong atas dasar kebajikan dan takwa dan jangan tolong menolong atas dasar dosa dan permusuhan,” katanya. – MalaysiaGazette