Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kisah sekiranya rakyat Malaysia menolak projek kereta nasional ketiga dan mahu meneruskan aktiviti tanaman padi dan tangkapan ikan.

Secara sinikal, Perdana Menteri itu berkata, Malaysia tidak perlu sebarang industri jika kadang-kadang industri itu akhirnya merugikan.

“Kita jadilah petani, nelayan. Itu yang kita inginkan,” katanya dalam wawancara dengan sebuah portal.

Beliau memberi reaksi tersebut selepas cadangannya untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga negara mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk dalam kalangan Kabinetnya.

Dr Mahathir berkata, matlamatnya dari dulu hingga sekarang adalah untuk meningkatkan kapasiti kejuruteraan negara dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar dan bukan pengguna

“Malaysia adalah negara pengguna, kita tak tahu keluarkan apa-apa. Saya ke China, di sana ia bukannya tentang penggunaan.

“Ia tentang mengeluarkan produk yang mereka boleh guna sendiri, tetapi ini tidak berlaku di Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.

Perdana Menteri berkata, industri kereta memerlukan 4,000 peralatan untuk membina sebuah kereta. Jika saya beri anda 4,000 alat dan menyuruh anda menghasilkan kereta, anda tidak mampu melakukannya.

“Anda mesti belajar bagaimana menghasilkan peralatan, memasangkan kerana apabila anda belajar mengenainya, anda belajar mengenai kejuruteraan.

“Apabila anda tahu bagaimana mahu mengeluarkan komponen-komponen, anda boleh mengeluarkan komponen untuk jentera, komponen kereta lain untuk negara lain.

“Anda belajar praktikal kejuruteraan melalui pembinaan kereta,” ujarnya.

Meskipun ada pengangkutan lain tetapi, Dr Mahathir percaya kereta adalah pilihan terbaik.

Beliau juga percaya industri kereta yang berada di peringkat awal perlu dilindung seperti mana dilakukan oleh Jepun dan Korea Selatan, malah, China juga melakukan perkara yang sama.

Tambahnya, Jerman dan Eropah turut memberi perlindungan secara tak langsung penghalang bukan tarif seperti lesen dan kuota.

“Di Jepun, anda tidak lihat kereta lain selain kereta Jepun. Di Korea, anda lihat kereta Korea,” katanya. – MalaysiaGazette