Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap agar rakyat di negara ini bersabar dengan kerajaan dalam melaksanakan janji mahupun sebarang manifesto Pakatan Harapan (PH).

Malah katanya, kerajaan PH tidak perlu terus selesa dengan pemerintahan hari ini dan mencipta alasan semata-mata.

“Menerusi pengalaman saya sendiri saya tahu makna dan hasil dari kesabaran.

“Seperti kata pepatah Rome tidak dibina dalam sehari. Tapi yakinlah ini bukan alasan semata-mata,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Santapan Malam Wanita 2018 di Dewan Perdana Felda sebentar tadi.

Wan Azizah mengiringi Yang Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim dalam majlis anjuran Majlis Pertubuhan Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO) itu.

Wan Azizah berkata demikian mengulas mengenai pencapaian 100 hari PH sebagaimana yang ditawarkan dalam 10 Janji, 100 Hari PH sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), Mei lalu.

Sebelum ini Wan Azizah berkata kerajaan tidak perlu untuk meminta maaf kerana tidak dapat melaksanakan 10 janji dalam 100 hari pemerintahan.

Ini kerana katanya Putrajaya telah melaksanakan 2 janji dalam manifesto. -MalaysiaGazette