Lombok
Kesan runtuhan struktur akibat gempa bumi kuat yang melanda Lombok baru-baru ini. foto ABC News

Lombok – Kerajaan menjangkakan Lombok akan kehilangan kira-kira 100,000 pelancong tahun ini disebabkan oleh beberapa siri gempa bumi yang melanda pulau peranginan itu sejak awal bulan ini.

Menteri Pelancongan, Arif Yahy meramalkan Lombok akan mengikut jejak langkah Bali yang kehilangan ramai pelancong ketika Gunung Agung meletus tidak lama dahulu.

Bali yang merupakan sebuah pulau peranginan tidak jauh dari Lombok kehilangan kira-kira sejuta pelancong dalam tempoh enam bulan selepas gunung berapi itu meletus.

Ia diikuti amaran perjalanan yang dikeluarkan oleh beberapa negara selain tindakan kerajaan yang terpaksa menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai sebanyak beberapa kali bagi mengelakkan ancaman serpihan letusan Gunung Agung.

Setiap tahun Bali menerima kira-kira enam juta pelancong manakala Lombok menarik kira-kira satu juta pelancong.

“Saya menjangkakan Lombok akan mengikut trend seperti Bali dengan nisbah satu kepada enam.

“Lombok dijangka mula pulih pada awal September dan proses pemulihannya akan mengambil masa selama enam bulan,” katanya sambil menambah ketibaan pelancong ke Lombok adalah sebanyak 4,500 sehari atau kira-kira 90 peratus berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan Mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia yang dijadualkan pada Oktober ini di Bali akan berjalan lancar.

Penganjur tempatan untuk mesyuarat berkenaan menyediakan 60 pakej pelancongan yang mana 33 daripadanya adalah untuk Bali manakala empat atau lima pakej lagi untuk Lombok.

“Namun begitu, kami perlu membuat tawaran semula kepada peserta Mesyuarat IMF-Bank Dunia untuk pakej pelancongan Lombok,” katanya.

Menurut Arif, kerajaan akan menggesa kemudahan-kemudahan yang telah ranap dipulihkan segera terutamanya bangunan setingkat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast