Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah bercakap kepada media selepas perjumpaan bersama penduduk rukun tetangga Ara Damansara di Eve Suite Kondominium, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 25 OGOS 2018.

PETALING JAYA – Kawasan Tropicana di sini mencatat sebanyak sembilan kes denggi dengan satu kematian sehingga semalam.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, jumlah tersebut terus meningkat bermula kes pertama sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata, hasil aduan penduduk, faktor peningkatan kes denggi itu disebabkan tahap kesedaran kebersihan yang rendah apabila sampah di buang merata-rata.

“Keadaan diburukan lagi apabila penduduk mendakwa terdapat longgokan sampah yang tidak dikutip pihak berkuasa tempatan untuk tempoh lama.

“Selain itu, terdapat banyak kawasan takungan air di kawasan Tropicana kerana projek pembangunan yang rancak dan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang berdekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan 14 wakil pertubuhan di parlimennya di sini hari ini.

Maria menambah, penghuni Pangsapuri Idaman Villa dan Damansara di sini pula kini hidup dalam kebimbangan ekoran rumah yang mereka diduduki mengalami keretakan sejak pembinaan LRT3.

Jelas beliau, lebih membimbangkan semua aduan berkaitan tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab termasuk pemaju.

“Pemaju memberi maklum balas bahawa rumah penghuni yang terlibat akan dibaiki hanya selepas projek LRT3 siap.

“Namun penghuni berasa bimbang kerana keretakan dinding rumah mereka semakin teruk dan bimbang berlaktu perkara lebih buruk jika menunggu projek tersebut siap.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0 itu berkata, penduduk juga membangkitkan isu keselamatan mengenai gejala penagihan dadah dan gangster yang semakin berluasa.n

Pada masa katanya, penduduk berharap kereta peronda polis dapat diperbanyakan dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan pada masa akan datang.

“Semua aduan penduduk ini akan saya kumpul dan hantar ke Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dalam tempoh seminggu ini.

“Saya juga akan menyuarakan kebimbangan projek pembangunan yang semakin banyak namun tidak seimbang dengan jumlah jalan raya yang ada hingga menyebabkan kesesakan trafik yang teruk pada waktu puncak,” katanya. – MalaysiaGazette