Halimey Abu Bakar
Halimey Abu Bakar

KELANA JAYA – Pengalaman Dr Halimah Ali sebagai Exco Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang sejak 2008 bukan satu cabaran boleh menggugat sokongan dan undi rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, walaupun calon Pas itu menang dalam pilihan raya kali ini, namun beliau tetap tiada akses kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk menunaikan agendanya.

“Kalau dia kata ada pengalaman dari segi mentadbir jadi Exco, ketika itu jawatannya di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR).

“Tetapi sekarang ini PR sudah tiada dan beliau tiada lagi akses untuk disalurkan sekiranya dia menang di kawasan DUN Seri Setia.

“Saya berasa yakin tidak tercabar dan tidak berasa gusar sebab saya telah menjadi Ahli Majlis selama ini dengan lebih baik di kawasan Zon 24 dalam DUN Seri Setia,” katanya di Bilik Gerakan PH DUN Seri Setia, di sini, hari ini.

Halimey Abu Bakar
Calon Pakatan Harapan (PH) N.32 Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar (tengah) bersama penduduk melaungkan merdeka pada Program Semarak Kemerdekaan Komuniti sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Flat Jalan PJS 5/2A, Desa Mentari, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2018

Beliau mengulas kempen pencabarnya dari parti Islam itu yang menggunakan pengalamannya sebagai Exco dan ADUN selama dua penggal ketika pentadbiran PR di Selangor.

Malah Halimah turut mendakwa isu agama yang cuba diperjuangkan PH hanya satu penerusan idea beliau ketika menjadi EXCO Pendidikan Selangor dan tiada perkara baharu cuba dibawa oleh Halimey.

Ketika Halimah menjadi EXCO, antara inisiatif yang diperkenalkan beliau ialah bantuan RM6 juta setiap tahun kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan menaikkan elaun guru agama sehingga RM1,500.

Halimey turut mengingatkan bekas wakil rakyat Selat Klang itu bahawa zaman pentadbiran PR sudah berlalu dan apa yang dilakukan kini menjadi sejarah semata-mata.

“Ini kerana Pas adalah pembangkang dalam Selangor bahkan juga dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast