ATM
Hishamuddin menerima tabik hormat terakhir daripada anggota ATM yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan kepadanya pada Jun lalu. - Foto: Twitter Hishamuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menegaskan penugasan anggota pasukan khas sebagai pengiring rapat bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah tamat sejurus Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Dalam satu kenyataan, ATM memberitahu, siasatan telah dilakukan dan tindakan akan diambil sewajarnya terhadap anggota yang didakwa masih bersama dengan Ahli Parlimen Sembrong itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas sebuah laman portal menyiarkan tiga anggota Pasukan Khas ATM masih lagi berkhidmat sebagai pengiring rapat Hishammuddin.

Semalam, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyatakan pihaknya sedang menyiasat dakwaan tersebut.

Pada masa yang sama, Hishamuddin menerusi Twitternya menyatakan anggota pasukan khas ATM yang didakwa masih menjadi pegawai pengiringnya hanya berkhidmat untuk sementara waktu.

Dalam perkembangan sama, ATM bertegas akan bertindak sewajarnya bagi memastikan semua anggota yang masih berkhidmat tidak melaksanakan apa jua tugasan dengan pihak yang tidak mempunyai hak dan kaitan berdasarkan peraturan semasa.

Selain itu, ATM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang didapati melanggar perintah dan peraturan semasa. – MalaysiaGazette