Ayob
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay semasa Simposium Antarabangsa Counter Terrorism dan Profesional Keselamatan Asean (IACSP) di InterContinental Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 27 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Tiada istilah penahanan tanpa bicara di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) seperti yang didakwa sesetengah pihak, tegas Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorisme (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Jelasnya, seramai 420 individu ditahan di bawah SOSMA yang mana 185 daripadanya telah didakwa di mahkamah, 148 telah dijatuhkan hukuman, 100 telah dilepaskan dan yang lain-lain masih dalam proses.

Penghapusan SOSMA merupakan salah satu manifesto Pakatan Harapan dan ketika ditanya mengenai pendapat beliau sekiranya akta tersebut dimansuhkan, Ayob Khan berkata, sebagai agensi penguatkuasa, beliau menerima apa sahaja yang diarahkan kerajaan.

“Kami hanyalah agensi penguatkuasa.

“Sama ada SOSMA dikekalkan atau dipinda, kami hanya menerima dan patuh kepada semua arahan kerajaan,” katanya semasa sidang media Simposium Antarabangsa Counter Terrorisme dan Profesional Keselamatan (IACSP) di sini hari.

SOSMA yang dilihat sebagai pengganti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan pada 2012 dengan tujuan antara lainnya untuk mengekalkan ketenteraman awam dan membendung aktiviti individu atau kumpulan yang mahu menggulingkan kerajaan atau melemahkan negara.

Menurut kerajaan terdahulu, SOSMA diperlukan untuk mengekang aktiviti pelampau termasuk yang berkaitan dengan Islamic State dan Daesh.

Dalam pada itu, Ayob Khan mengesahkan terdapat cubaan militan Daesh untuk merekrut warga Rohingya yang semakin bertambah di negara ini.

Katanya, terdapat empat kes aktiviti keganasan yang dilaporkan sebelum ini membabitkan warga Rohingya dan kesemuanya telah diusir ke negara asal mereka.

Tambahnya, aktiviti merekrut militan oleh Daesh kebanyakannya dilakukan menerusi media-media sosial terutamanya Facebook.

“Sejumlah 95 peratus daripada pengganas Daesh yang ditahan ini direkrut menerusi media sosial.

“Sukar untuk mengekang aktiviti mereka kerana apabila kita tutup satu akaun, mereka akan buka satu lagi akaun baharu,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast