Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Yb Senator Waytha Moorthy (tengah) beramah mesra dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada pembukaan Forum Malaysia Baru Selepas 61 Tahun Merdeka di Hotel Armada, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Yb Senator Waytha Moorthy (tengah) beramah mesra dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada pembukaan Forum Malaysia Baru Selepas 61 Tahun Merdeka di Hotel Armada, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Isu berhubung dakwaan hampir 300,000 masyarakat India di Malaysia tidak memiliki dokumen pengenalan sehingga hari ini sebenarnya bukan cerita dongeng sebaliknya adalah satu realiti.

Pendedahan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy yang memaklumkan, angka itu bukan sengaja diada-adakan bagi mengelirukan orang ramai, mahu meraih undi atau menyebar rasa benci kepada kerajaan terdahulu.

Sebaliknya, angka itu merupakan anggaran sejak beberapa tahun terutama di kawasan-kawasan pedalaman sebelum angka itu dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk pembangkang ketika itu dan juga pemimpin dalam kalangan Barisan Nasional (BN) sendiri.

“Pada awalnya, kita anggarkan kira-kira 150,000 orang tidak miliki dokumen pengenalan tetapi angka itu berubah kepada hampir 300,000.

“Bayangkan jika seseorang yang tinggal di kawasan pedalaman, tidak berpendidikan, tidak mempunyai kerja tetap dan sebagainya. Jangan kira induvidu lagi, kira berapa ramai dalam keluarga mereka.

“Dari situ ramai pihak mendapat anggaran seperti itu malah saya yakin itu adalah anggaran yag betul. Ingin sekali saya beri contoh kepada anda, beberapa tahun lepas, ketika Datuk Seri Khir Toyo masih lagi menjawat jawatan Menteri Besar Selangor, beliau sendiri pernah mendedahkan di negeri itu sahaja hampir 40,000 kanak-kanak India tiada pengenalan dan tidak dapat bersekolah.

“Itu baru kanak-kanak, bagaimana pula dengan emak dan bapanya? Saudara yang lain? Kita sedang bercakap tentang negeri Selangor. Bagaimana pula dengan negeri lain seperti Perak, Kedah dan sebagainya.

“Jumlah itu kekal dan kita sedang cuba memperhalusi prosedur yang sedia ada bagi kumpulan ini menyediakan dokumen tertentu bagi mendapatkan pengenalan mereka sebelum ini. Jika proses untuk mendapatkan pengenalan sangat susah dan sukar mendapatkan kelulusan, bagaimana kita mahu bantu mereka?

“Setakat ini,  hanya lebih 3,800 permohonan telah diterima yang ada sudah diproses dan baki menunggu kelulusan. Ada banyak lagi pihak belum di beri kesedaran bagaimana menyenangkan proses permohonan dokumen kewarganegaan yang sebelum ini agak rumit,” katanya kepada Malaysia Gazette malam tadi.

MGF27082018_FORUM MALAYSIA BARU08
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Yb Senator Waytha Moorthy bercakap kepada media pada pembukaan Forum Malaysia Baru Selepas 61 Tahun Merdeka di Hotel Armada, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2018.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang menyatakan angka itu adalah maklumat yang dikumpul sendiri ahli parlimen pembangkang sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) dibentuk.

Mohd Azis berkata, berdasarkan statistik kementerian sehingga 31 Mei lalu hanya 3,853 permohonan kewarganegaraan diterima dalam kalangan masyarakat India dan 1,683 sudah diluluskan manakala baki 2,215 permohonan masih dalam proses.

Bagi menangani isu dokumen pengenalan diri ini, kementerian melalui Jabatan Pendaftaran Negara sentiasa produktif bagi memastikan lebih ramai warganegara mendapat kad pengenalan, kata Mohd. Azis.

Senator Datuk T. Mohan juga ada mempersoalkan kesahihan angka 300,000 kaum India tiada dokumen pengenalan diri yang dibangkitkan sebelum ini sehingga menyebabkan MIC kehilangan kepercayaan pengundi.

Tambah Waythamoorty yang juga merupakan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang lantang memperjuangkan isu kewarganegaraan sebelum dilantik sebagai menteri baru-baru ini, beliau amat prihatin dengan cara isu ini ditangani.

“Jika tanya soalan atau dokumen ‘bukan-bukan’ yang sudah pasti mereka tiada, bagaimana mahu memohon atau minta diluluskan? Kita sedang tangani isu ini ketika ini dan mencari alternatif terbaik untuk tanganinya.

“Saya sendiri pernah bertemu dan menemubual golongan yang tinggal di kawasan pedalaman yang tidak memiliki dokumen pengenalan, dari emak ayah sehingga anak-anak. Keadaan ini juga menyebabkan mereka hidup dalam serba daif kerana tidak mempunyai pendidikan atau pekerjaan yang baik.

“Saya kena dengar balik hansard ketika sesi Dewan Negara semalam, saya hanya baca melalui dalam media sahaja, saya tidak bagi jawapan mengapa angka itu sahaja di sebut kerana itu adalah jumlah permohonan sahaja. Banyak lagi belum memohon,” ujarnya. – MalaysiaGazette