KUALA LUMPUR – Tiada pendakwaan diteruskan ke atas kes rasuah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana bukti yang diperolehi pihak pendakwaan tidak mencukupi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, perkara itu telah diputuskan pendakwaraya pada 20 Jun lalu setelah mendapati tiada bukti mencukupi yang boleh melanjutkan siasatan itu.
“Siasatan ke atas Yang Amat Berhormat Shafie Apdal yang juga Ketua Menteri Sabah terkini telah dijalankan pada 21 April 2017 dan kertas siasatan telah diedarkan kepada peguam persekutuan, SPRM pada 23 Mei 2018.
“Setelah meneliti semua keterangan, pendakwaraya memutuskan pada 20 Jun 2018 bahawa tiada pendakwaan diteruskan kerana bukti diperolehi tidak mencukupi bagi tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan bertulis Senator Jamilah Sulaiman daripada Barisan Nasional (BN) yang meminta Perdana Menteri menyatakan kedudukan kes rasuah Mohd Shafie sama ada diteruskan pendakwaan atau ditutup.
Sebelum ini Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 19 Oktober 2017 susulan dakwaan penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Sabah dibongkar.
Lebih 50 individu dipanggil memberi kenyataan kepada SPRM sejak kes itu dibongkar, awal Oktober 2017.
Sebelum ini, 10 individu ditahan SPRM berhubung kes berkenaan termasuk dua adik Mohd Shafie, iaitu ahli perniagaan Hamid Apdal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal.
Antara yang ditahan ialah Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman selain Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim serta terbaharu petang tadi iaitu jurutera awam berusia 47 tahun.
Mereka bersama tiga lagi individu disiasat berkaitan kes penyelewengan dana awam projek pembangunan luar bandar bernilai RM1.5 bilion yang disalurkan menerusi KKLW di Sabah antara 2009 hingga 2015. – MalaysiaGazette