Harga gula mulai turun pada 1 September ini.

KUALA LUMPUR – Dua pengilang tempatan akur dan akan mematuhi keputusan kerajaan yang menurunkan harga siling gula sebanyak 10 sen sekilogram berkuatkuasa 1 September ini.

MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) berkata, ia akan terus memastikan bekalan gula terus stabil meskipun turun naik harga gula mentah.

Mulai bulan depan harga kawalan gula bertapis yang baharu adalah RM2.85 sekilogram bagi gula pasir kasar dan RM2.95 sekilogram bagi gula pasir halus.

MSM dan CSR menegaskan harga gula runcit di Malaysia kekal di antara yang paling murah di dunia, seperti yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatatan 2011 (Penentuan Harga Maksimum – No. 2, Perintah 2017).

Walaupun harga komoditi itu disemak semula, harganya lebih rendah daripada harga di negara pengeluar gula seperti Thailand, Indonesia dan Filipina, juga sebagai negara yang mempunyai pendapatan per kapita yang lebih rendah seperti Kemboja dan Myanmar.

Harga gula di Thailand adalah RM3.04 sekilogram, Filipina (RM4.23), Myanmar (RM4.59), Kemboja (RM3.61) dan Indonesia RM4.50.

Industri gula terus berdepan dengan cabaran aktiviti haram seperti penyeludupan gula dan kemasukan gula haram, di samping kos operasi yang lebih tinggi dalam bentuk gas, elektrik, harga minyak dan gaji minimum.

Sehubungan itu, MSM dan CSR positif terhadap komitmen kerajaan untuk menghapuskan sepenuhnya permit import gula (AP) dan membendung aktiviti penyeludupan gula yang mengancam tanda ‘Halal’, kawalan mutu dan keperluan pensijilan mandatori yang lain.

Industri gula adalah perniagaan kitaran dan kini mengalami lebihan bekalan yang menyebabkan penurunan harga gula mentah global.

Walau bagaimanapun, dalam menghadapi senario pasaran yang mencabar, khususnya apabila harga gula mentah yang lebih tinggi dan kadar pertukaran yang tinggi, penapis tempatan perlu menyerap impak kepada pengguna dengan memastikan bekalan gula stabil kepada negara.

Lantaran itu, MSM dan CSR menggalakkan rakyat Malaysia mengambil gula pada kadar sederhana dan bertanggungjawab sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjalani gaya hidup sihat. – MalaysiaGazette