Ketua Biro Pemantau Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina PMSP, Tony Tan (tengah) bersama penduduk memegang kain rentang ketika membuat bantahan pada sidang media mengenai kelulusan pembinaan kondominium mewah di atas tanah yang diwartakan untuk pembinaan jalan di Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2018.
Ketua Biro Pemantau Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina PMSP, Tony Tan (tengah) bersama penduduk memegang kain rentang ketika membuat bantahan pada sidang media mengenai kelulusan pembinaan kondominium mewah di atas tanah yang diwartakan untuk pembinaan jalan di Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 28 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Penduduk di Lot 310 Lorong Peel menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad untuk menarik balik kelulusan terhadap pembangunan kondominium 45 tingkat yang bakal dibangunkan di kawasan itu.

Peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili penduduk di kawasan tersebut berkata, kawasan tanah yang mahu digunakan pemaju untuk membina kondominium itu merupakan tanah rizab jalan, justeru tidak sepatutnya ia dibangunkan.

“Anak guam saya bimbang sekiranya diluluskan, dibenarkan projek ini diteruskan boleh mengganggu rancangan kerajaan untuk melebarkan jalan ini.

“Oleh itu anak guam saya merayu dan memohon kepada Menteri Wilayah dan kerajaan Malaysia untuk menghentikan projek ini dan membatalkan sebarang kelulusan yang diberikan kepada pemaju,” katanya kepada pemberita ketika hadir bersama-sama lebih kurang 20 penduduk di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebentar tadi.

Tambah beliau, selagi pembinaan masih belum bermula, maka belum terlambat untuk Kementerian Wilayah Persekutuan campur tangan demi kepentingan rakyat.

“Saya difahamkan belum lagi dibangunkan setakat kelulusan diberikan atas kertas maka belum lagi terlambat untuk Menteri Wilayah dan kerajaan Malaysia menghalang pembangunan kompleks pejabat kondominium ini,” jelasnya.

Wakil penduduk yang juga merupakan Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina Pertubuhan Minda Dan Sosial Prihatin (PMSP), Tony Tan Chee Chong berkata, isu ini pernah dibangkitkan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu namun tidak mendapat layanan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Pakatan Harapan untuk menegakkan hak rakyat untuk tidak sewenangnya memberi kelulusan kepada pembangunan kondominium yang akhirnya akan menjejaskan keadaan trafik di situ kelak.

“Semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) kelulusan diberikan dan kami ada buat bantahan tapi mereka tidak layan kita.

“Kalau dibuat bangunan di sana, jalan raya untuk penduduk di situ sudah tiada.Ianya termaktub merupakan tanah rizab jalan, penduduk terpaksa pusing jauh untuk sampai rumah dari jalan luar, dengan kapasiti lebih 100 kereta untuk kondominium itu mesti jalan di situ pun akan sesaklah,” kata Tony sebelum menyerahkan memorandum bantahan.

Tony dalam masa yang sama mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menyiasat sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa dalam proses pembelian tanah untuk dibangunkan bagi tujuan komersial itu dengan harga yang rendah.

Beliau mendakwa tanah itu dijual pada harga RM199 sekaki persegi, lebih murah daripada tanah bersebelahan dengannya iaitu RM350 sekaki perseki.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Pegawai Khas Menteri Wilayah Persekutuan, Nik Abd Razak Nik Md Ridzuan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast