Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersalaman bersama Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir (tengah) pada Program Taklimat Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada media di Auditorium Aras 1, Blok Tengah, Kementerian Kewangan. Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak mampu untuk menangguhkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana ia mampu mengakibatkan negara mengalami defisit perbelanjaan operasi.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, walaupun banyak perkara masih dibincangkan namun SST tetap akan dikenakan pada 1 September ini.

“Kami masih mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh termasuk ahli perniagaan bagi mendapatkan maklum balas mereka mengenai SST.

“Kami masih berusaha supaya lebih banyak mendapat pengecualian SST tetapi buat masa sekarang, inilah yang hasil yang kami dapat. Kuantum SST ditetapkan pada kadar 10 peratus, lima peratus dan kosong peratus.

“Walaupun kami mahu SST ditangguhkan tetapi sekiranya tidak dilaksanakan pada 1 September ini negara akan mengalami defisit perbelanjaan operasi dan kerajaan tidak mampu menghadapinya kerana sekarang kita sudah tidak cukup RM4 bilion,” katanya semasa taklimat media mengenai SST di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Jelas Guan Eng, defisit perbelanjaan operasi bermakna pendapatan kerajaan lebih rendah berbanding perbelanjaan yang turut merangkumi kos pembayaran gaji kakitangan awam.

Disebabkan itu, perbincangan tetap diteruskan bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

“Kami akan cuba menjadikan barangan yang berada dalam senarai dikenakan cukai 10 peratus dipindahkan ke dalam senarai lima peratus.

“Supaya kerajaan boleh beri pengecualian cukai kepada mana-mana barangan atau perkhidmatan yang perlu.

“Barang mewah memang tidak boleh. Maaf,” tegasnya.

Ketika ditanya mengenai cara kerajaan mengimbangi kehilangan pendapatan selepas pemansuhan GST dan digantikan dengan SST, Guan Eng berkata, mereka bergantung kepada dividen Petronas dan Khazanah Nasional.

“Sekarang harga minyak mahal, jadi kami akan menikmatinya selagi boleh.

“Apabila harga minyak jatuh, kami akan cari jalan untuk mengatasinya (mencari pendapatan),” katanya.

Dalam pada itu, mengenai impak inflasi disebabkan pelaksanaan SST, Guan Eng berpendapat, inflasi pada tahun ini berlegar sekitar dua peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast