Mohamed Khaled Nordin
Mohamad Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – UMNO menggariskan tiga perkara untuk dipertimbangkan oleh kerajaan sebagai langkah mengelak pembatalan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Tiga langkah tersebut iaitu; memastikan senarai penerima disemak secara berkala bagi memastikan para penerima adalah mereka yang benar-benar layak.

Kedua, BR1M boleh dipadankan dengan mana-mana program atau inisiatif intervensi lain seperti pembinaan kapasiti yang boleh membantu penerima untuk keluar daripada kemiskinan dengan lebih cepat dan berkesan.

Ketiga, menilai semula jumlah yang diperuntukkan dan dipadankan bukan sahaja mengikut pendapatan, tetapi juga lokaliti atau tempat tinggal serta jumlah isi rumah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, memperkasa BR1M adalah lebih baik daripada menghapuskannya.

Beliau berkata, BR1M harus dinilai secara adil dan objektif kerana inisiatif cetusan idea Bank Negara Malaysia yang kemudiannya
diimplementasikan oleh kerajaan Barisan Nasional pada 2012 adalah bertujuan membantu penerima yang memerlukan.

Malah, ia bukan sahaja dilakukan secara berkala sebaliknya, kelompok penerimanya adalah jelas dan bersasar, kata beliau.

“Bukankah antara perkara yang paling lantang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan sebelum ini adalah kos sara hidup?

“Jadi, adakah dengan penghapusan BR1M, mereka kini sudah boleh menjamin bahawa golongan B40 sudah tidak terkesan dengan kos sara hidup?

“Atau adakah mereka mengambil pendirian bahawa BR1M tidak mempunyai kebaikan, sedangkan mereka sendiri bersetuju untuk meneruskannya sebelum ini kerana kelebihan yang ditawarkan oleh BR1M,” soal beliau.

Mohamed Khaled berkata, BR1M adalah inisiatif yang berfokus bagi mengurangkan impak pelan rasionalisasi subsidi kepada golongan B40.

Ujar beliau, ia juga satu pendekatan yang relevan kepada sistem kebajikan dan perlindungan sosial negara dalam konteks meningkatkan kuasa beli dan keupayaan melakukan perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah.

“Ini termasuklah berhadapan dengan kos pembelian barang-barang dapur, membayar bil bulanan dan perbelanjaan harian yang lain,” katanya.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Majlis Dasar Awam UMNO Malaysia menegaskan, pakar-pakar termasuk ahli akademik dan pakar industri telah mengatakan bahawa kuasa membeli golongan berpendapatan rendah telah meningkat dengan perlaksanaan BR1M, terutamanya mereka yang tidak dapat menanggung beban kenaikan kos sara diri.

Segala kejayaan dan kebaikan inisiatif BR1M juga kata beliau, dapat dibuktikan dengan lebih jelas jika melihat kepada manifesto Pakatan Harapan sendiri yang berjanji untuk meneruskannya.

“Malangnya, pendirian Pakatan Harapan dalam isu BR1M ini tidak pernah konsisten dan sentiasa berubah-ubah. ,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast