KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat Kelantan adalah orang yang bijak, cepat berbanding rakyat di negeri lain.

Menurut beliau, ekoran daripada itu rakyat Kelantan boleh bekerja di mana sahaja malah ramai dalam kalangan rakyat negeri itu memegang jawatan penting dalam kerajaan.

“Negeri itu miskin sedangkan orang-orangnya pandai, ramai pegawai kerajaan tertinggi orang Kelantan termasuk Setiausaha lama saya, mereka cekap-cekap tapi mesti beri iklim yang sesuai untuk memberi tumpuan pada pembangunan Kelantan,” katanya dalam sesi dialog Masa Depan Bumiputera dan Negara Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Dr Mahathir menambah, rakyat Kelantan terutamanya golongan wanita dilihat lebih cekap dalam mengusahakan perniagaan berbanding mereka yang berasal dari negeri-negeri lain termasuk Kedah mahu pun Selangor.

“Sebenarnya orang Kelantan bijak-bijak, kenapa mereka tak boleh buat di Kelantan, itu adalah soalnya. Pekerja-pekerja di Singapura pun orang Kelantan yang tinggal di Johor.

“Mereka cekap dan boleh bekerja tapi mungkin persekitaran tak kena di sana. Jadi, sama-samaah kita mengkaji persekitaran itu dan kenapa jadi demikian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir berkata, kerajaan negeri Kelantan tidak mampu menguruskan negeri itu tanpa bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, keadaan itu berlaku kerana negeri yang dipimpin di bawah kerajaan Pas tersebut tidak memiliki sumber kewangan yang cukup ekoran kekurangan hasil kutipan cukai.

“Sebenarnya kerajaan Kelantan tak mampu membiayai kerajaan Kelantan. Bantuan kerajaan Pusat mesti diberi untuk menjadikan kerajaan Kelantan, kerana kekurangan kutipan cukai dan sebagainya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast