Pak John Steamboat & BBQ menyediakan lebih 160 menu bersama 16 jenis sos termasuk pelbagai pemanis mulut.

KUALA LUMPUR – Pak John Steamboat & BBQ (Pak John) mengesahkan harga menunya naik enam peratus berkuatkuasa hari ini selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Pengarah Urusan Pak John, CS Chong berkata, harga baharu di restoran stimbot dan panggang popular itu kini adalah RM49.75 berbanding RM47.20 sebelum SST.

Beliau berharap kenaikan tidak memberi kesan kepada pelanggan kerana jumlah perbezaan harga adalah kecil.

“Kami telah mengeluarkan memo bermula hari ini di semua cawangan kami agar pelanggan tidak keliru sebelum memilih menu.

“Sebenarnya ia perbezaan harga yang kecil kerana sebelum ini kami menurunkan harga selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dihapuskan dan kini kembali menaikkan harga namun lebih rendah daripada ketika GST.

“SST lebih rendah berbanding GST kerana dikenakan pada harga siling kepada pelanggan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Chong menambah, pihaknya hanya mematuhi arahan kerajaan untuk mengenakan SST agar tidak mendapat penalti.

Pak John kini memiliki dua cawangan di e-Curve di Damansara dan IOI City Mall, Putrajaya.

Ketika GST, harga menu RM50 untuk dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak dengan menyediakan lebih 160 menu bersama 16 jenis sos termasuk pelbagai pemanis mulut. – MalaysiaGazette