Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki bersalaman bersama pengunjung restoran sambil diiringi Timbalan Menteri Pertahana, Liew Chin Tong ketika sesi "walkabout" sempena kempen Pilihan Raya Kecil N. 47 Balakong di sekitar kawasan Sungai Chua, Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 SEPTEMBER 2018

BALAKONG – Barisan Nasional (BN) tidak memahami mesej jelas yang disampaikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) lalu apabila masih lagi membenarkan Datuk Seri Najib Razak bersuara dalam pelbagai topik.

Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Senator Liew Chin Tong berkata, rakyat telah menunjukkan isyarat kepada BN bahawa mereka sebenarnya menolak bekas presiden parti itu yang pernah menjadi perdana menteri.

“Tetapi kita lihat Barisan Nasional dan MCA belum lagi menolak Najib. Beliau masih lagi menjadi jurcakap yang penting kepada Barisan Nasional.

“Setiap isu Najib ada pandangan. Kenapa rakyat tolak Barisan Nasional adalah kerananya,” kata beliau ketika ditemui pada program walkabout bersama calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki dalam siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong di sini hari ini.

Chin Tong berkata, pimpinan MCA perlu menjawab mengapa mereka masih lagi merelakan Najib untuk bersuara mewakili parti.

Meskipun MCA pada pertandingan di DUN Balakong menggunakan lambang sendiri tanpa ada kaitan dengan BN dan Najib, namun tempiasnya pada isyarat rakyat masih ada, kata beliau.

Tambahnya, keadaan semakin dikeruhkan apabila parti gabungan dalam BN iaitu UMNO masih lagi memainkan sentimen perkauman dengan bangsanya dan MCA sendiri turut melakukan perkara sama terhadap kaum Cina.

“Ini bukan mesej yang disampaikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Mesej rakyat adalah Malaysia baharu dimana kita semua adalah anak Malaysia.

“Kita perlu membangunkan negara ini sebagai warga Malaysia dan bukannya bermain sentimen perkauman,” ujarnya.

Kata beliau lagi, MCA tidak boleh menjelaskan kepada rakyat menerusi slogan semak dan imbang tanpa menerima pengajaran daripada PRU yang lalu.

Jelasnya, menerusi PRK Balakong, pengundi di kawasan berkenaan perlu menghantar mesej kepada pembangkang supaya mereka dapat bersaing dengan kerajaan menerusi langkah yang sihat serta insaf. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast