Suspek ke lapan, Datuk Hasanah Abdul Hamid diiringi pegawai SPRM hadir ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman kes salah guna dana PRU14 di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 OGOS 2018.

PUTRAJAYA – Tempoh reman bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid dilanjutkan sehari lagi bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majistret Intan Syafinaz Ros’lin melanjutkan tempoh reman berkenaan sehingga 5 petang esok selepas membenarkan permohonan SPRM.

Hasanah yang ditahan SPRM pada Selasa lepas telah direman selama lima hari bermula Rabu lepas bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding reman itu, peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah berkata, SPRM pada mulanya memohon tempoh reman anak guamnya itu dilanjutkan tujuh hari lagi tetapi ?majistret hanya membenarkan dilanjutkan satu hari sahaja bermula hari ini sehingga 5 petang esok.

Terdahulu, ketibaan Hasanah di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 9.55 pagi disambut beberapa wanita dipercayai anggota keluarganya yang memeluk dan menciumnya.

Selain Hasanah, turut direman sebelum ini ialah enam Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan seorang timbalan pengarah bergelar Datuk yang bertugas di MEIO atau Jabatan Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri. .

Ketujuh-tujuh mereka yang direman lima hari dari Selasa dibebaskan semalam dengan jaminan SPRM. Sehingga ??kini sembilan orang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Penahanan terakhir ialah seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun berstatus penduduk tetap United Kingdom yang ditahan di Kelantan Rabu lepas. Ahli pernigaan berkenaan kini direman tujuh hari mulai Khamis lepas.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki Azam dilaporkan berkata SPRM percaya wang milik kerajaan berjumlah US$12 juta telah diselewengkan pihak tertentu. – MalaysiaGazette