KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat MCA yang merupakan mercu tanda parti itu mungkin  dirobohkan untuk memberi laluan bagi projek pembinaan mega di Jalan Ampang berdekatan Menara Berkembar Petronas dalam masa terdekat.

Portal The Edge Property melaporkan, projek itu turut melibatkan pembinaan Menara 70 tingkat selain sebuah hotel bertaraf bintang dan restoran sky dining yang akan dianggarkan menelan kos sehingga lebih RM1 bilion.

Selain daripada itu, menara 70 tingkat itu juga sekali dengan hotel setinggi 24 tingkat yang memuatkan 328 bilik, sebuah restoran pencakar langit bagi menarik pengunjung dalam dan luar negara terutama kumpulan elit.

Laporan itu juga menyebut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah meluluskan pelan perancangan itu pada 2 Ogos lepas selepas cadangan pembinaan itu di hantar pada 13 Julai tahun ini.

Penganalisis industri yang bercakap dengan The Edge baru-baru ini, Pengarah Eksekutif firma penilaian LaurelCap berkata, perancangan pembinaan merupakan idea yang bakal memberi keuntungan besar tetapi memerlukan masa tepat.

“Wisma MCA terletak di lokasi yang sangat strategik dan menonjol di pusat bandar Kuala Lumpur. Ia berada dalam jarak berjalan kaki dari Stesen LRT Ampang serta Stesen MRT Ampang Park. Oleh itu, aksesibiliti adalah luar biasa.

“Bagaimanapun, masa tidak kondusif kerana negara mengalami kelembapan ekonomi, dengan pasaran hartanah mengalami kelebihan bekalan di apartmen, kondominium tinggi di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

MCA adalah salah satu daripada parti politik tertua mewakili masyarakat Cina di negara ini selain merupakan salah seorang anggota pengasas Parti Perikatan atau kini Barisan Nasional yang memimpin negara sejak kemerdekaan pada tahun 1957.

Bagaimanapun, pada PRU-14 lalu, MCA mengalami kekalahan teruk dalam sejarah parti berkenaan sehingga hanya menang satu sahaja kerusi Parlimen di Ayer Hitam di Johor diwakili oleh Datuk Seri Wee Ka Siong. – MalaysiaGazette