KUALA LUMPUR – “Bagaimanakah hasrat kerajaan untuk menggunakan kutipan Tabung Harapan Malaysia untuk melunaskan hutang mengikut tatacara kewangan yang berkuatkuasa sekarang?”

Itu soalan yang diajukan oleh Senator Dewan Negara Datuk Farahiyah Mohd Nordin.

Beliau dalam masa yang sama bertanya sama ada statistik tabung tersebut akan diumumkan dan diaudit atau sebaliknya bagi memastikan ketelusan penggunaan dana awam.

“Soalan saya kepada kerajaan ialah berapakah jumlah kutipan Tabung Harapan dan bagaimanakah hasrat kerajaan untuk menggunakan kutipan tabung ini untuk melunaskan hutang mengikut tatacara kewangan yang berkuatkuasa sekarang

“Saya juga ingin bertanya apakah kerajaan akan mengumumkan statistik derma Tabung Harapan ini agar ianya diaudit dan diumum kepada orang awam demi ketelusan Pakatan Harapan mengendalikan dana awam,” katanya ketika menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) hari ini.

Farahiyah terdahulu, menyambut baik punca Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu menghentikan kutipan Tabung Harapan bagi mengelakkan budaya lobi-melobi kepada kerajaan.

Tabung Harapan ditubuhkan pada 30 Mei untuk membolehkan rakyat Malaysia menyumbang bagi mengurangkan kadar hutang negara.

Menerusi Facebook Kementerian Kewangan Tabung mencecah lebih RM179.9 juta.-MalaysiaGazette