Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.
Lim Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

GEORGE TOWN – Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepaskan dan membebaskan Lim, 58, dan Phang, 46, berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim, dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hadhariah berkata beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

“Pertuduhan tidak boleh dibiarkan tergantung terhadap tertuduh selama tempoh yang tidak terbatas. Perlu ada penamat dalam kes ini. Saya tidak dapat bersetuju dengan pihak pendakwaan. kami tidak mengendalikan kes secara bersiri. Mesti ada noktah, tiada koma, koma, terutamanya dalam kes jenayah.

“Setelah mengkaji keseluruhan kes dan masa yang begitu lama untuk mendapatkan keputusan, oleh itu saya perintahkan kedua-dua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.

Sebelum beliau menyampaikan keputusan, Hadhariah berkata setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil 25 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes berkenaan pada Mac lepas dan kini dalam bulan September, pihak pendakwaan memohon supaya kes itu DNAA.

“Selepas enam bulan nanti mungkin pendakwaan akan memanggil saksi lain. Tidak wujud perkara seperti ini terutamanya dalam kes berkepentingan awam. Jika pendakwaan mohon untuk DNAA, mahkamah juga tidak boleh tutup kes,” katanya.

Sebaik sahaja mahkamah menyampaikan keputusannya, Lim dan Phang dilihat saling berpelukan di dalam kandang tertuduh. Mahkamah penuh sesak dengan penyokong Lim dan anggota keluarga Phang.

Pada awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

“Pihak pendakwaan telah menerima representasi oleh kedua-dua tertuduh dan selepas meneliti, pendakwaan menarik balik pertuduhan berdasarkan tuntutan undang-undang di bawah Seksyen 254 yang mana peruntukan ini berjumlah kepada pembebasan tanpa dilepaskan,” katanya.

DNAA bermakna, pihak pendakwaan boleh meneruskan pertuduhan yang sama terhadap tertuduh.

— BERNAMA