Isham Abdul Jalil

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah yang melibatkan pembelian banglonya menimbulkan dua perkara pelik.

Itu dakwaan bekas pembantu Datuk Seri Najib Razak, Isham Jalil.

“Perkara pertama, pihak pendakwaraya hanya memohon discharge not amounting to acquittal atau pelepasan yang tidak bermaksud tertuduh dibebaskan iaitu permohonan supaya YGuan Eng dilepaskan namun bukan dibebaskan.

“Ini bermakna kes ini boleh dibuka semula dan dibawa ke mahkamah pada masa akan datang. Walaupun demikian, pihak pendakwaraya daripada Pejabat Peguam Negara juga telah menyarankan untuk pertuduhan digugurkan terus, dan berdasarkan saranan pendakwaraya ini hakim mahkamah telah membuat keputusan untuk membebaskan Lim Guan Eng dan kes ini ditutup,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Isham, perkara kedua, penghakiman hakim dan saranan Pejabat Peguam Negara dan pembebasan Guan Eng berlaku pada tahap proses perbicaraan yang terlalu awal di mahkamah.

Ini seolah-olah saranan pendakwaraya di atas dan keputusan mahkamah untuk membebaskan Lim Guan Eng dilakukan dengan tergesa-gesa tanpa perbicaraan lanjut yang mana sekurang-kurangnya 20 orang saksi lagi belum dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, dakwaya.

“Ini berbanding dengan kes 1MDB bekas Perdana Menteri dan kes banglo bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo yang mana proses pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah berlaku dengan panjang lebar,” katanya lagi.

Menurutnya, jika sesiapa pun yang bertaraf menteri melakukan rasuah namun terlepas dan bebas daripada kesalahan tersebut oleh kerana beliau kenal Peguam Negara dan adalah bekas anak guam kepada Peguam Negara dalam kesnya, maka suatu kesongsangan undang-undang telah berlaku.

“Ini bukanlah Rule Of Law namun adalah suatu ketidakadilan dan masalah etika dan moral yang amat membimbangkan. Ia juga akan menyebabkan krisis kepercayaan kepada institusi undang-undang negara.

“Dan lebih buruk lagi ia akan menggalakkan lebih ramai lagi perasuah dan ahli politik berjawatan tinggi dalam kerajaan untuk terus mengamalkan rasuah kerana mereka tahu mereka boleh terlepas dengan mudah,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast