Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Yb Khalid Abdul Samad (kiri) melekatkan pelekat "Daulat Tuanku" pada cermin kenderaan sebagai simbolik perasmian turut serta Pengerusi Pertubuhan Warisan Negara, Datuk Zulkifly Ibrahim (dua kiri) dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim (kanan) pada Majlis Penyerahan 5000 Pelekat "Daulat Tuanku" sempena Sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong XV 2018 daripada Pertubuhan Warisan Negara untuk diedarkan kepada warga kota di Perkarangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diseru agar tidak termakan dengan dakyah yang disebarkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu memansuhkan sistem beraja di negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, dakwaan kerajaan PH juga mahu menukar sistem negara beraja kepada republik berniat untuk mewujudkan pertelingkahan perkauman bagi kepentingan golongan tertentu.

Jelas beliau, kerajaan PH berikrar sumpah setia terhadap Raja dan Institusi Raja-Raja Melayu dan akan terus taat dan mempertahankannya.

“Saya mohon kepada rakyat agar tidak sesekali termakan dengan dakyah yang disebar oleh segelintir pihak kononnya kita akan mansuhkan Instutusi Beraja dan Raja Raja Melayu. Itu adalah sesuatu yang kita akan pertahankan sehingga bila-bila.

“Tidak ada persoalan kononnya kerajaan baharu yang diterajui oleh PH akan menukar sistem negara beraja kepada negara republik pada masa akan datang. Semua ini dilakukan untuk meniup api kebencian dan perkauman dalam kalangan kita demi kepentingan peribadi.

“Semua ini dilakukan untuk menakut-nakutkan rakyat terhadap kerajaan baharu, juga berniat untuk pecah belahkan keharmonian yang telah dibina sejak sekian lama, jangan percaya atau termakan dengan hasutan sebegini. Marilah kita bersama-sama mempertahankan sistem Raja-Raja Melayu kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan 5,000 pelekat ‘Daulat Tuanku’ kepada warga kota sempena Hari Keputeraan Yang diPertuan Agong XV 2018 anjuran Pertubuhan Warisan Negara di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Tambah Khalid, pihaknya juga memandang serius terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab menimbulkan khabar angin secara berterusan dengan mempergunakan institusi raja sebagai alat politik.

“Jangan memandai dan bermain dengan ‘api’. Jangan cuba sebarkan politik songsang bagi berterusan menakutkan rakyat jelata tentang perkara-perkara yang tidak akan sesekali berlaku,” tegasnya.

Sejak kerajaan PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara, wujud dakwaan pemimpin serta aktivis mereka berpendapat sistem Raja Berpelembagaan tidak lagi relevan dalam institusi demokrasi negara yang dianggap dianggap telah ketinggalan zaman.

Bagaimanapun pandangan sebegini mendapat tentangan pelbagai pihak sehingga laporan polis d buat dari masa ke semasa.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Warisan Negara, Datuk Zulkifly Ibrahim berkata, sumbangan pelekat itu merupakan inisiatif berterusan pihaknya yang komited dalam usaha mendaulatkan sistem Raja Berperlembagaan selain menyokong Institusi Raja-Raja Melayu.

“Ini bersesuaian sekali dengan Hari Keputeraan Yang Di Pertuan Agong XV 2018 pada 9 September ini.

“Dengan paparan ‘Daulat Tuanku mampu menjadi salah satu inisiatif dalam memberi kesedaran kepada rakyat betapa pentingnya institusi raja perlu dipertahankan bagi mewujudkan keseimbangan dalam pemerintahan berasaskan sistem demokrasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette