T Harpal Singh
Peguambela, T. Harpal Singh bercakap kepada media selepas selesai kes tahanan SOSMA di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 SEPTEMBER 2018.

SHAH ALAMĀ – Peguam Negara, Tommy Thomas digesa menggunakan kuasanya untuk menangguhkan hukuman atau meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Peguam bela, T Harpal Singh berkata, Tommy Thomas mempunyai kuasa untuk menahan kes SOSMA daripada diteruskan perbicaraan di mahkamah sementara menunggu akta zalim itu dimansuh atau dipinda di Parlimen.

“Di bawah peruntukan Seksyen 376 Kanun Acara Jenayah ataupun 145 (3) Perlembagaan Persekutuan di mana peguam negara mempunyai kuasa untuk menahan kes ini daripada diteruskan.

“Kuasa memboleh tahanan dilepaskan tanpa dibebaskan sehingga kerajaan memutuskan sama ada SOSMA ini dimansuh atau dikaji

“Setelah mereka dapat satu keputusan dan mereka percaya kalau diteruskan, mereka boleh buat pertuduhan semula. Ini kerana arahan itu hanya bersifat sementara bukannya kekal,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Datuk Mohd Ridzuan Abdullah dan 200 ahli keluarga selepas prosiding mahkamah ke atas 38 tahanan SOSMA.

Harpal berkata, beliau tidak mengalu-alukan sekiranya peguam negara mahu menawarkan ikat jamin ke atas kesemua tahanan SOSMA kerana perbicaraan tetap berterusan seperti biasa.

“Saya tidak syorkan untuk ikat jamin bagi Akta SOSMA, jika ia diberi ikat jamin, ia tidak akan membantu kerana mahkamah masih akan tetapkan tarikh bicara.

“Jadi perbicaraan masih dijalankan, ia tidak sesuai bagi anak guam kerana terdapat saksi-saksi pelindung dan ia perbicaraan tidak adil

“Bagi anak guam saya tidak setuju SOSMA hanya diberi ikat jamin. Saya mohon supaya perbicaraan adil di bawah Kanun Acara Jenayah dibenarkan,” katanya.

Harpal turut mengalu-alukan sekiranya pertuduhan di bawah SOSMA dipinda ke akta lain sebagai langkah memansuhkan akta itu.

“Kami mengalu-alukan jika SOSMA itu dipinda kepada Akta Pertubuhan 1966.

“Setakat ini saya telah dapat emel petang Khamis lalu dan mereka (Jabatan Peguam Negera) telah terima represntasi. Jadi kita tunggu keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette