Noraini Ahmad
Pengerusi PAC, Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara digesa memberi penjelasan berhubung keputusan membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah memandangkan ia melibatkan kepentingan awam.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, ini kerana kes-kes seumpama itu mungkin wujud pada masa depan.

“Kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dirujuk sewaktu permohonan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara untuk membebaskan tanpa melepaskan tertuduh.

“Tindakan Jabatan Peguam Negara ini dilihat menolak dan memperkecilkan tugas serta amanah yang telah dijalankan oleh pihak SPRM, seolah-olah ada berlaku pendakwaan terpilih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.

Serentak itu, SPRM pula melahirkan rasa terkejut dengan perkembangan terkini itu.

Menurut satu kenyataan, SPRM berkata, pihaknya tidak menjangkakan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menggugurkan kes berkenaan.

“SPRM amat terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini yang membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.

“SPRM ingin menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya daripada SPRM,” demikian menurut kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette