Wong Siew Ki
Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki. foto MIRZA HASIM, 24 OGOS 2018

SERI KEMBANGAN – Calon Pakatan Harapan bimbang ramai pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong masih tidak pasti hari mengundi.

Wong Siew Ki berkata, sebilangan besar pengundi di kawasan itu masih menganggap hari mengundi adalah pada Sabtu minggu hadapan.

“Saya terkejut ketika mendekati dan mengajak pengundi keluar beramai-ramai pada hari mengundi kerana mereka tak tahu hari mengundi adalah pada Sabtu ini, 8 September 2018.

“Mereka anggap hari undi adalah Sabtu minggu hadapan. Saya terpaksa ingatkan mereka hari dan keluar undi beramai ramai,” katanya selepas melawat pusat undi awal di Kuarters Balai Polis Seri Kembangan pagi ini.

Katanya, dengan tempoh berkempen berbaki tiga hari, beliau mempunyai misi besar untuk memujuk pengundi supaya menunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya harap gelombang peratusan keluar mengundi kurang 50 peratus di Sungai Kandis tidak berlaku di PRK Balakong,” ujar beliau. – MalaysiaGazette