Hanipa
Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin tidak bersetuju dengan kenyataan Nurul Izzah Anwar yang menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas memberi penjelasan berhubung keputusan penarikan balik tuduhan rasuah ke atas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya, cadangan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu walaupun mungkin baik dari suatu sudut, tetapi ia berpotensi besar mewujudkan konflik kepentingan.

“Selain itu, Nurul Izzah juga dilaporkan berkata SPRM perlu diberi kuasa membuat pendakwaan.

“Komen saya hanya sedikit. Bagi saya, kenyataan itu boleh diterima sebagai adil meskipun “strictly dan constitutionally speaking”, AG tidak ada sebarang keperluan atau tanggungjawab statutori itu berdasarkan Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dilaporkan menggesa Pejabat Peguam Negara tampil memberikan penjelasan berhubung pengguguran pendakwaan kes rasuah dalam pembelian banglo di bawah harga pasaran melibatkan Guan Eng.

Beliau turut mengulangi pendirian sama seperti tahun 2013, agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan kuasa membuat pendakwaan.

Menurut Mohamed Hanipa, SPRM seperti mana pasukan polis adalah agensi penyiasatan.

Katanya, kerja utama mereka adalah menyiasat bukan mendakwa dan bila agensi penyiasatan diberi juga kuasa untuk mendakwa, ia bukan suatu amalan yang baik atau universal.

“Tidak perlu saya katakan jika ada konflik kepentingan ia bukan memudahkan kerja pendakwaan. Sebaliknya, ia makin menyusahkan. Kesannya, secara relatif, mungkin OKT (Orang Kena Tuduh) lebih mudah untuk bebas dari disabitkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast