Ahli Dewan Negara, Datuk T. Mohan pelik dengan sikap segelintir pemimpin PH yang masih lagi berada dalam alam mimpi kononnya mereka masih pembangkang sehingga agenda untuk membawa perubahan seolah-olah sudah di lupakan.
Ahli Dewan Negara, Datuk T. Mohan pelik dengan sikap segelintir pemimpin PH yang masih lagi berada dalam alam mimpi kononnya mereka masih pembangkang sehingga agenda untuk membawa perubahan seolah-olah sudah di lupakan.

KUALA LUMPUR – Terkejut, terkilan dan gusar masih lagi dirasai oleh para pemimpin dan rakyat apabila Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng daripada dua pertuduhan tanpa perbicaraan.

Terbaru, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk T. Mohan melahirkan rasa hairan dan terkilan bagaimana seseorang boleh didakwa atas tuduhan berat seperti rasuah tetapi dilepaskan tanpa sebarang perbicaraan sebegitu mudah.

Soal beliau, adakah kerana kedudukan beliau sebagai Menteri Kabinet ketika ini diambil kira sehingga ‘dilepaskan’ begitu sahaja.

“Pertuduhan yang di hadapi oleh beliau sebenarnya amat serius dan berat. Saya sendiri pernah menghadapi situasi seumpama itu 15 tahun dahulu apabila menjual aset dengan harga di bawah pasaran.

“Walaupun nilai aset yang saya beli dengan harga RM640,000 tetapi menjualnya dengan RM600,000 sahaja. Saya kemudian terpaksa membayar cukai untuk harga sehingga RM700,000.

“Bagaimana pula seseorang seperti Guan Eng yang bertaraf Menteri disabitkan dengan dakwaan seumpama itu kemudian digugurkan tanpa sebarang perbicaraan atau penjelasan kukuh daripada pihak Peguam Negara mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

“Jangan kita sesekali lupa jika hendak dibandingkan dengan kes 1MDB bekas Perdana Menteri dan kes banglo bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang mana proses pertuduhan dan perbicaraan di mahkamah berlaku dengan panjang lebar. Pelik dan ajaib sekali kerana tiada perbicaraan terus gugur sekelip mata. Hebat.

“Sebagai rakyat biasa, kami semua tertanya-tanya juga. Adakah kebenaran di sebalik wujudnya pertindihan kepentingan dalam keputusan ini? Peguam Negara perlu mengambil inisiatif untuk menjelaskan isu ini kerana ianya melibatkan kepentingan awam,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Mohan yang juga merupakan Naib Presiden MIC turut mengakui kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkannya memulakan, menjalankan atau menghentikan sesuatu kes jenayah di mahkamah sivil.

Jelas Mohan, pada masa yang sama, kuasa tersebut tidak seharusnya disalahguna dan dilaksanakan mengikut undang-undang.

“Jangan gunakan kuasa itu secara membuta tuli, rakyat mengundi kerajaan baharu kerana dilontarkan pelbagai tohmahan serta pertuduhan tentang kerajaan terdahulu. Mereka mahukan perubahan.

“Tetapi nampak gayanya, semua tetap di takuk lama. Perundangan di negara ini seolah-solah mendapat campur tangan ghaib seperti politik dalam merencanakan sesuatu agenda.

“Saya bukan bercakap demi kepentingan saya sebaliknya anda sendiri nampak dan tahu, ramai di luar sana melahirkan rasa gusar berhubung keputusan kes ini termasuk dalam kalangan mereka sendiri. Patuh kepada undang-undang dan dasar keadilan bukan undang-undang rimba,” ujarnya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Dalam pada itu, Mohan juga memohon SPRM agar tampil mempertahankan integriti badan tersebut daripada terus tercalar dengan isu ini.

“Badan Anti Rasuah seperti SPRM tidak sepatutnya sekadar mengeluarkan kenyataan ‘terkejut’ dan tidak tahu menahu tentang kes ini sebaliknya pertahankan integriti anda, jangan biar sesiapapun terlepas begitu sahaja. Jangan biar sesiapa ‘pijak’ anda.

“Kami semua mahukan keadilan dan penjelasan, jika benar dakwaan itu tidak berasas berikan jawapan serta penjelasan telus dan adil,” tegasnya.

Semalam, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membebas dan melepaskan Guan Eng yang juga merupakan Menteri Kewangan ketika ini daripada tuduhan itu atas alasan pihak pendakwa menarik balik tuduhan padanya dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

SPRM bagaimanapun berkata penarikan balik kes itu bukan diminta mereka, sebaliknya Pejabat Peguam Negara.

Kenyataan itu bagaimanapun menimbulkan ‘kemarahan’ peguam Guan Eng, Ramkarpal Singh kononnya badan itu berpura-pura tidak tahu. – MalaysiaGazette