Khalid Samad

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad mahu persepsi bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai lubuk rasuah bagi kontraktor dalam mendapatkan projek dihentikan segera.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana kontraktor yang terlibat dengan gejala itu, termasuk budaya menghulur sogokan, suapan serta komisen dan sebaliknya mahu golongan itu mengutamakan profesionalisme dalam menjalankan setiap tanggungjawab.

“Sekiranya ada pegawai DBKL meminta rasuah daripada kontraktor sila maklumkan, saya ingin buang persepsi orang awam yang melabelkan DBKL sinonim dengan rasuah,” katanya ketika ditemui pada sesi perjumpaan dengan lebih 700 kontraktor utama penyelenggaraan DBKL di Institut Latihan DBKL hari ini.

Sementara itu, beliau menolak khabar angin yang mengatakan DBKL tidak akan membayar kontraktor yang dianggap sebagai kroni kepada parti pemerintah terdahulu.

“Khabar angin itu bertujuan mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan DBKL, semua perjanjian akan dihormati. Pentadbiran baharu PH kita tidak bertindak mengikut perasaan dan emosi parti atau politik kepartian.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast