Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Penarikan balik kes rasuah dan salah guna kuasa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang oleh Jabatan Peguam Negara semalam adalah amat janggal dan menimbulkan pelbagai persoalan apabila keputusan itu dibuat semasa Lim Guan Eng berada dalam Kabinet kerajaan.

Presiden Hisbah, Datuk Mohamed Ezam Mohd Nor mempersoalkan adakah wujud pertindihan kepentingan dalam keputusan tersebut.

“Ianya sesuatu yang amat janggal dan menimbulkan pelbagai persoalan apatah lagi penarikan dibuat setelah OKT menjadi ahli Kabinet kerajaaan,” katanya.

Katanya, Hisbah memang serius keputusan penarikan pendakwaan terhadap Guan Eng dan menuntut penjelasan Jabatan Peguam sesuai dengan prinsip Kerajaan Pakatan Harapan yang mendukung prinsip ketelusan.

Semalam, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepaskan dan membebaskan Guan Eng, 58, dan ahli perniagaan Phang Li Koon, 46, daripada pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Guan Eng telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan selaku penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang ketika disabitkan pertuduhan, didakwa mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya negeri itu kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam didakwa mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di No. 25, Jalan Pinhorn pada harga yang diketahuinya tidak sepadan dengan nilainya, daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta berbanding nilai pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai 2015.

Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini, bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu. – MalaysiaGazette