Nik Mohamad Abduh
Nik Mohamad Abduh

KUALA LUMPUR – Kepercayaan terhadap ketelusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengangkat nilai kedaulatan undang-undang semakin terhakis dengan penarikan semula dua kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Keputusan itu, jelas menimbulkan persoalan ramai terhadap sejauhmana institusi teras dalam negara ini benar-benar bersih daripada pengaruh pihak luar dalam menentukan tindakannya.

Menurut Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, kerajaan sering melaungkan slogan kedaulatan undang-undang dengan gagasan mereformasi institusi perundangan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Namun, katanya, apakah sebuah kedaulatan undang-undang itu terpakai hanya untuk melindungi mereka yang berkuasa, sedangkan perbicaraan kes rasuah Menteri Kewangan tersebut baru pada fasa awal setelah melalui penyiasatan sejak 2016.

“Jika pihak tertuduh yakin berada pada pihak yang benar, sewajarnya kes berprofil tinggi ini dibicarakan sehingga diputuskan oleh sebuah mahkamah yang bebas, bukannya ditarik balik oleh Peguam Negara.

“Itu makna sebenar di sebalik hasrat kerajaan mengangkat slogan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi reaksi terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Guan Eng dari tuduhan rasuah.

Anak kepada penasihat DAP, Lim Kit Siang itu dibebaskan daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon, selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu.

Menurut Nik Mohamad Abduh, selain dilihat wujudnya campur tangan, pengguguran kes itu menimbulkan persepsi bahawa pihak tertuduh tidak berani berhadapan dengan perbicaraan.

“Selain kekaburan terhadap janji reformasi tersebut, saya juga berpandangan pengguguran kes ini akan berkait dengan kredibiliti penyiasatan SPRM.

“Kenyataan pihak SPRM yang terkejut dengan keputusan pengguguran kes ini menggambarkan mereka tidak dirujuk oleh Pejabat Peguam Negara sebelum mengemukakan representasi ini ke mahkamah.

“Apakah penyiasatan pihak SPRM selama ini sudah tiada kredibiliti lagi?” soal beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat,” katanya.

Kata Nik Mohamad Abduh, pengguguran kes Guan Eng menjelaskan pencanggahan kepentingan yang berlaku dan bagaimana mungkin Peguam Negara boleh dilihat bebas, tidak berat sebelah, mempunyai kepentingan awam dan tanpa dipengaruhi oleh politik dengan pendirian pengguguran kes itu?

“Persoalan ini semua masih menjadi tanda tanya di kalangan rakyat. Semua perkara ini jelas memberi gambaran implikasi terhadap pengguguran kes berprofil tinggi dalam negara kita.

“Lebih malang lagi, ia bukan sahaja membelakangi janji reformasi pihak kerajaan terhadap rakyat, bahkan telah menyebabkan institusi tersebut mengalami defisit keyakinan oleh rakyat hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast