Beberapa anggota polis yang tiba di Kuarters Polis di BalakongSeri Kembangan untuk mengundi hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 31 orang polis akan mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong yang diadakan di Ruang Legar Kuarters Balai Polis Seri Kembangan.

Pusat mengundi itu dibuka tepat 8 pagi tadi sehingga 12 tengah hari ini.

Setakat 8.26 pagi tadi, seramai 17 anggota polis sudah mengundi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Othman Mahmood tiba di pusat pengundi pada pukul 8.30 pagi ini untuk memantau proses mengundi awal.

Pilihan Raya Kecil DUN Balakong menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki, berdepan calon MCA, Tan Chee Teong.

Pilihan Raya Kecil ini diadakan berikutan kematian penyandang kerusi DUN berkenaan mendiang Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuh Raya Grand Saga.

Pada pilihan raya umum lalu, Tien Chee berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan majoriti 35,538 undi.

SPR telah menetapkan 8 September ini sebagai hari pengundian.

Sebanyak 62,219 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Balakong iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang telah dikemaskini sehingga 2 Julai lalu. – MalaysiaGazette