Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir pada sidang media Pasca Temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Menara Kementerian Belia Sukan (KBS), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 04 SEPTEMBER 2018.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PUTRAJAYA – Program Podium akan melalui proses rombakan besar-besaran dan menyeluruh daripada segi struktur pengurusan peruntukan, ganjaran dan hukuman sedia ada supaya dapat mengelak kesilapan pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan memanggil pengarah program podium yang bertanggungjawab untuk satu perbincangan rapi dan dijangka pada minggu depan.

Katanya, pertemuan itu akan turut disertai Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Institut Sukan Negara (ISN) untuk duduk bersama mencari kesilapan dan kegagalan membawa hasil yang disasarkan selama ini.

“Pertama sekali saya sudah mengarahkan satu laporan bedah siasat penuh disediakan segera terlebih dahulu untuk memudahkan mencari penyelesaian dengan membincangkan maklumat lanjut berkait rapat dengan program podium dibincangkan.

“Saya sudah memaklumkan MSN dan ISN bahawa tidak boleh sekadar perubahan kecil, perlu ada rombakan besar menyeluruh daripada segi struktur pengurusan sistem peruntukan, penajaan, ganjaran serta hukuman undang-undang sukan sedia ada.

“Ia akan mempastikan kesilapan lampau dapat dielak dan kejayaan diteruskan menerusi penambahbaikan yang kolektif dan berkesan,” katanya pada sidang media Pasca pencapaian kontinjen negara dalam sukan Asian di lobi menara KBS di sini hari ini.

Tambah Syed Sadiiq,  memandangkan kontinjen negara masih gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 negara terbaik di temasya Sukan Komanwel 2018 dan Asian 2018 yang baru melabuhkan tirai di Jakarta, kajian semula akan dilaksanakan tentang keberkesanan program selama ini.

Dalam Sukan Asia baru baru ini Malaysia gagal menyumbang emas yang disasarkan dalam sukan podium dan hanya mampu memcapai sasaran tujuh emas memerusi sukan subjektif yang harus dikaji semula kelemahan.

Katanya, kajian program podium yang dilaksana sejak tahun 2016 itu penting sebagai menambahbaik program sedia ada menghadapi Olimpik Tokyo 2020 memandangkan negara masih mengejar elusive gold medal pada setiap temasya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan ketidakadilannya untuk memperincikan isu rombakan program podium itu buat masa sekarang sehingga laporan bedah siasat daripada MSN dan ISN diterima segera.

“Ini kerana saya belum dapat maklum balas dari persatuan sukan dan olahraga serta pengkritik persatuan sukan sedia ada untuk mencari penyelesaian secara bersama.

“Ilusif pingat emas Olimpik masih dikejar negara tetapi terlalu bergantung kepada pencapaian satu-satu atlet sahaja sepenuhnya.

“Sebagai contoh, Datuk Lee Chong Wei sememangnya pencapaian dan sumbangan kepada negara ini tidak boleh dinilai dengan mudah malangnya kebergantungan secara terlampu kepada atlet itu mengagalkan kita mencipta lebih banyak jaguh Chong Wei,” katanya.

Ditanya apakah sukan berprestasi tinggi itu akan dikembalikan semula dibawah MSN, beliau berkata, keputusan besar itu perlu melalui perbincangan dengan kesemua pihak berkepentingan dalam mesyuarat Lembaga Pengurus MSN yang akan dipengerusikan beliau sendiri tidak lama lagi.

Lagi pun katanya adalah tak adil untuk menamatkan program podium itu tanpa perbincangan susulan dengan semua pihak berkepentingan.

Ditanya punca kegagalan atlet negara mencapai sasaran pingat dalam acara podium, beliau bagaimanapun berpendirian tidak menyalahkan atlet sebaliknya semua pihak bertanggungjawab secara kolektif.

“Mereka (atlet) melakukan yang terbaik menggunakan usaha dan keringatnya untuk menyumbang membangunkan sukan negara.

“Kita kena ingat setakat ini RM67 juta dibelanjakan sejak Program Podium diperkenalkan pada tahun 2016 dan tidak adil juga untuk tamatkannya sekarang dan tunggu sehingga saya dapatkan laporan bedah siasat Sukan Asia.

“Untuk itu, atlet dan jurulatih akan diberi sasaran KPI (Petunjuk Prestasi Utama) setiap fasa latihan yang mana ia akan menjadi penentu kepada jumlah peruntukan yang akan diterima setiap persatuan sukan dan atlet daripada kerajaan disamping memastikan berada dalam landasan betul mengejar pingat di temasya besar,” ujar Syed Saddiq. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.